fbpx

Tujuh penuntut IPT di Kelantan terlibat homoseksual hidap HIV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaini (dua kiri) menunjukkan tanda sokongan pencegahan HIV melalui plakad pada Sambutan Hari AIDS Sedunia 2022 Peringkat Negeri Kelantan di Mydin Mall Tunjong, Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Seramai tujuh penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di Kelantan yang terlibat dengan aktiviti homoseksual dikesan menghidap virus kurang imun manusia (HIV) sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, jumlah itu menunjukkan sebanyak 13 peratus golongan pelajar daripada angka keseluruhan pesakit HIV yang direkod sepanjang tempoh tersebut iaitu 54 orang.

Menurutnya, meskipun jumlah penghidap HIV yang melibatkan penuntut IPT itu tidak terlalu tinggi, JKNK sentiasa mengambil berat berhubung kes tersebut.

“Kes baharu pesakit HIV yang terdiri daripada golongan homoseksual di Kelantan mencatatkan sebanyak 0.5 peratus pada 2010 sebelum menunjukkan peningkatan kepada 8.9 peratus pada 2015.

“Peningkatan ketara sebanyak 15.9 peratus pada tahun 2016 kepada 49.1 peratus pada tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari AIDS Sedunia 2022 Peringkat Negeri Kelantan di Mydin Mall Tunjong di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, pihaknya tidak memandang ringan berhubung kes itu kerana bimbang peningkatan akan berlaku pada masa akan datang.

Menurutnya, kes-kes baharu HIV boleh menyebabkan implikasi kepada institusi kekeluargaan dan perkhidmatan perubatan.

“Kadar notifikasi HIV di Kelantan ketika ini menunjukkan penurunan yang ketara iaitu 27.5 per 100,000 penduduk pada 2010, 10.8 per 100,000 penduduk (2016) dan 4.25 per 100,000 penduduk (2021).

“Jangkitan HIV dalam kalangan penagih dadah secara suntikan juga menurun dengan konsisten,” katanya.

Tambah Zaini, masyarakat perlu memahami isu HIV dan AIDS sekali gus dapat membuang stigma selain diskriminasi terhadap pesakitnya agar mereka dapat hidup seperti biasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI