fbpx

Tanah runtuh: Gali pakai tangan, dengar suara budak tertimbus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota keselamatan menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa.

HULU SELANGOR – Seorang mangsa yang terselamat tidak dapat berselindung perasaan trauma apabila terpaksa menggali tanah, untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam runtuhan di tapak perkhemahan, Father Organic Farm, Batang Kali, Hulu Selangor.

Seorang lelaki yang ingin dikenali sebagai Chong, 28, berkata dia bertindak demikian setelah mendengar suara jeritan meminta tolong daripada kawasan sekitar itu.

“Setelah menyedari tanah runtuh yang berlaku, saya segera keluar dari khemah untuk menyelamatkan diri namun terdengar suara jeritan daripada kawasan sekitar, dan menjumpai seorang wanita telah tertimbus separuh badan.

“Saya menggali dan menarik mangsa dan seorang anak perempuannya keluar dari timbunan dalam anggaran 10 hingga 15 minit untuk menyelamatkan mereka,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pekarangan Balai Polis Hulu Yam Bharu, Batang Kali, hari ini.

Tambah Chong, pada awal kejadian sekitar pukul 2 pagi itu, dia mendengar bunyi kuat seperti kilat dan merasa runtuhan tanah mendekati khemah di bahagian kepalanya.

Chong yang berada di tapak perkhemahan bahagian zon B berkata, dia kemudiannya keluar dan terkejut melihat runtuhan tanah telahpun meliputi keseluruh kawasan bahagian zon A.

Tambah Chong, kumpulannya yang terdiri daripada 18 ahli keluarga dan rakan dari Melaka, bernasib baik serta terselamat kerana hanya bahagian zon A musnah ditutupi oleh tanah runtuh.

Chong yang sepatutnya pulang hari ini setelah bermalam sejak kelmarin turut berkata keadaan cuaca pada malam itu hanya hujan renyai sahaja, dan percaya masih ramai lagi mangsa tertimbus di tapak perkhemahan zon A tersebut.

Seorang mangsa lain, Teh Lynn Xuan, 22, pada mulanya mendengar bunyi air menitis kemudian diikuti dengan bunyi batu berguling yang sangat kuat ketika sedang tidur.

Teh yang juga berada di tapak perkhemahan zon B kemudian merasa khemahnya tertolak dengan tanah dan segera keluar menyelamatkan diri setelah menyedari kejadian tanah runtuh itu.

“Mangsa zon B yang berada berdekatan tapak kami, sempat kami tarik dan selamatkan.

“Tetapi kami tidak nampak mangsa lain yang berada di Zon A kerana kawasan perkhemahan itu telah ditutupi oleh tanah runtuh tersebut,” katanya.

Walau bagaimanapun, Teh bersama 20 orang ahli keluarga dalam pertemuan semula (reunion) berada dalam keadaan selamat dan telahpun mendapatkan rawatan selanjutnya, di sini.

Terdahulu, media melaporkan dianggarkan 100 pengunjung menjadi mangsa kejadian tanah runtuh awal pagi tadi.

Ketinggian runtuhan tersebut dianggarkan setinggi 39 meter dengan anggaran keluasan runtuhan seluas satu ekar.

Sehingga kini, seramai sembilan orang temasuk kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun meninggal dunia dalam tragedi tanah runtuh itu.

Sementara itu, seramai lebih 30 mangsa keluarga ditempatkan sementara di balai polis disini bermula pukul 5.30 pagi.

Kesemua mangsa turut diberikan makanan dan minuman dan tempat berteduh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI