fbpx

Johor haramkan pesta buih dianjurkan esok di hotel mewah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Fared . - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) tidak akan membenarkan penganjuran program berunsur kemaksiatan dilakukan di negeri ini yang bertentangan dengan ajaran Islam serta adat resam negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, pihaknya berjaya menggagalkan penganjuran pesta buih yang dijadualkan diadakan esok di sebuah hotel mewah di bandar raya ini.

Beliau berkata, pihak penguat kuasa JAINJ telah menghubungi penganjur program tersebut setelah menerima aduan awam susulan tular jemputan ke parti tertutup itu di media sosial.

“JAINJ telah menghubungi penganjur dan pemilik hotel mewah berkenaan dan mereka bersetuju membatalkan penganjuran pesta buih yang akan diadakan di kawasan kolam renang hotel mewah terbabit.

“JAINJ menyampaikan pandangan bahawa pesta buih itu tidak boleh dianjur dan diadakan di negeri ini berikutan ia melanggar Enakmen Jenayah Syariah Johor selain mengundang ketidakselesaan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perhimpunan bulanan agensi Hal Ehwal Agama Islam Johor, di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Fared berkata, JAINJ akan menjalankan pemantauan di beberapa lokasi lain termasuk di hotel mewah tersebut bagi memastikan tidak ada program atau aktiviti yang mengundang kemaksiatan seperti pesta buih itu diadakan.

“Kita sudah memberi amaran dan akan menjalankan penguatkuasaan untuk bertindak jika penganjur atau mana-mana lokasi meneruskan pesta buih itu.

“Pencegahan terhadap program maksiat sebegini akan diteruskan sepanjang masa dan bukan dilakukan secara bermusim pada tarikh tertentu sahaja.

“Kerisauan kita adalah program yang melibatkan pergaulan bebas dan perlakuan tidak sopan seperti ini melibatkan orang Islam. Saya percaya semua orang termasuk yang bukan Islam pun tidak mahu melihat kegiatan bercampur bebas ini,” ujarnya.

Tambahnya, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau ingin membuat aduan boleh terus menghubungi penguatkuasa JAINJ di talian yang dinyatakan di laman sesawang JAINJ.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI