BELIA yang aktif memainkan peranan penting dalam aktiviti kemasyarakatan. Belia merupakan jejambat yang menghubung antara warga tua dan muda, selain menjadi tonggak kepada kemajuan serta pembangunan sesebuah kampung.
Rentetan itu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Gugusan Parit Laman dengan kerjasama Kelab Belia Sri Rengas serta komuniti setempat telah menganjurkan Karnival Sukan Sri Rengas buat julung kalinya di tapak jeti Pusat Rekreasi Kampung Parit Karjan, Sri Medan, Johor.
Pusat rekreasi ini merupakan tempat latihan kayak pada suatu ketika dahulu.
Namun sejak Sri Medan mengalami banjir besar pada tahun 2023, kebanyakan aktiviti tergendala.
Kini, pelbagai aktiviti dijalankan bagi menghidupkan semula pusat rekreasi ini.
Aktiviti memancing
Aktiviti memancing telah diadakan selama dua hari, sebelum hari kemuncak karnival.
Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori iaitu Mengilat menggunakan bot gentian kaca, serta Puyu iaitu memancing dari tebing sungai dan parit.
Masa diperuntukkan untuk kedua-dua kategori itu hanya tiga jam, bermula dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari.
Kategori Puyu mendapat sambutan lebih ramai pemancing apabila sekitar 40 orang telah menyertainya.
Hal ini kerana kategori itu lebih santai dan semua peringkat boleh menyertai, berbanding kategori Mengilat hanya 12 orang peserta dengan menggunakan enam buah bot gentian kaca.
Aktiviti mengilat ini baru sahaja diperkenalkan di sini, maka belum ramai yang berminat untuk main gewang dengan menaiki bot.
Kategori pancingan ini dicadangkan sendiri oleh ahli jawatankuasa karnival untuk memperkenalkan aktiviti yang boleh mengisi masa lapang penduduk sekitar.
Di samping itu, bot yang tersedia juga digunakan oleh orang kampung yang ingin menyusur sungai sepanjang karnival berlangsung.
Set mengilat
Saya hanya menggunakan set pancing aksi ringan kerana keadaan sungai yang sudah dibersihkan dan kurang kawasan berumput.
Selain itu, menggunakan set mengilat seperti ini tidak memenatkan. Hal ini kerana saya perlu lebih kerap melontar gewang sebab masa singkat.
Fawwaz dan saya menggunakan gewang soft frog yang mempunyai bilah kipas kerana tebing sungai tidak mempunyai rumput.
Jadi, ia tidak menjejaskan aksi gewang ini berbanding jika menggunakan gewang-gewang jenis lain.
Kebetulan ketika acara berlangsung, keadaan air sedang menyorong surut.

Ketika ini, ikan haruan selalunya akan membenamkan diri ke dalam lumpur.
Oleh itu, gewang yang membuat bunyi bising dan bersilau ketika dipanah cahaya matahari mampu menarik perhatian ikan pemangsa culas.
Hanya beberapa ketika sejurus pertandingan berlangsung, kami telah dihubungi oleh urus setia yang memaklumkan sudah ada tangkapan daripada peserta kategori
Mengilat dengan seekor haruan seberat 765 gram (g).
Berita ini membuatkan kami berkobar-kobar untuk menggandakan usaha sehingga saya berjaya mendaratkan seekor ikan haruan bersaiz kecil yang pasti tidak mampu menandingi berat tangkapan peserta tadi.
Memandangkan untuk mendapat ikan saiz besar agak sukar, kami menukar strategi dengan menyasarkan jumlah tangkapan paling banyak.
Oleh itu, saya memberi peluang kepada Fawwaz untuk melontar terlebih dahulu ke kawasan berpotensi sambil saya fokus mengemudi bot, dan hasilnya seekor demi seekor ikan haruan pelbagai saiz berjaya dia daratkan.
Penyampaian hadiah
Setelah tamat masa pertandingan sekitar pukul 1 tengah hari, kami menghantar hasil tangkapan ke meja urus setia untuk urusan timbang dan rekod.
Suasana menjadi gamat apabila strategi mendaratkan hasil terbanyak berhasil selepas Fawwaz memborong hadiah tempat kedua, keempat dan kelima, sekali gus dinobatkan sebagai King of Caster.
Sementara King of Puyu dianugerahkan kepada saudara Azlan yang memperoleh tangkapan ikan puyu terberat dan terbanyak.
Pelbagai aktiviti menarik dijalankan pada hari kemuncak karnival, antaranya pertandingan karaoke, aktiviti sukaneka, pertandingan rakit dan bot berhias serta pelbagai gerai jualan.
Aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan antara jiran tetangga sambil berkongsi pengalaman yang luar biasa.
Pihak urus setia telah menjemput Datuk Zulkurnain Kamisan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan bagi menyempurnakan Majlis Penutup Karnival Sukan Sri Rengas 2025.
Diharapkan agar aktiviti kemasyarakatan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.














