fbpx

Kaji, nilai semula projek HSR KL-SG dengan kerajaan Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TING HAN (tiga dari kanan) menghadiri Simposium BRI di Dewan Senat, UTM, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi mengkaji dan menilai semula pelaksanaan Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, projek infrastruktur itu merupakan salah satu cara membantu memacu ekonomi negara bagi jangka masa pendek dan sederhana.

Beliau berkata, projek itu diyakini dapat memberi faedah dan manfaat limpahan ekonomi kepada Johor khususnya selari dengan iltizam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat merancakkan aktiviti ekonomi dan menangani kos sara hidup.

Biarpun kerajaan negeri teruja untuk meneruskan projek mega tersebut, beliau berkata, pihaknya perlu menunggu sebarang keputusan daripada Kementerian Pengangkutan sebelum membuat sebarang sebelum membuat sebarang ulasan.

“Memetik kata Datuk Seri Anwar, pembatalan projek HSR pada masa itu adalah tindakan kurang bijak. Maka, kita harap kerajaan Persekutuan menimbang semula kebolehlaksanaan projek ini supaya dapat mewujudkan limpahan ekonomi di negeri ini.

“HSR ini adalah projek di bawah kawal selia Kementerian Pengangkutan, maka kita perlu lihat cdgn daripada kementerian itu barulah kerajaan Negeri memberi ulasan dan macam mana Kita boleh bekerjasama dari segi isu tanah, kebenaran merancang dan sebagainya.

“Projek ini bukan hanya mengenai kerajaan Malaysia sahaja tetapi melibatkan kerajaan Singapura serta beberapa negeri lain, jadi kita perlu tunggu keputusan kerajaan Persekutuan baru membincangkan apa hala tuju baharu dan langkah seterusnya buat negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) di Dewan Senat, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.

September lalu, Timbalan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dilaporkan memberitahu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai kesediaan republik ini untuk menerima cadangan baharu daripada negara jirannya itu tentang projek HSR yang ditamatkan sebelum ini.

Projek HSR tersebut yang menyasarkan penjimatan masa perjalanan antara Singapura dan Kuala Lumpur dalam masa 90 minit, dihentikan selepas beberapa penangguhan di bawah permintaan Malaysia dan akhirnya perjanjian itu luput pada Disember 2020.

Malaysia membayar lebih S$102 juta (RM326.9 juta) sebagai pampasan kepada Singapura kerana pembatalan projek berkenaan.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI