fbpx

LKIM mohon peruntukan tambahan untuk nelayan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

BUKIT GANTANG – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berharap kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi peruntukan tambahan kepada golongan nelayan.

Pengerusinya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, tambahan peruntukan itu dapat membantu golongan tersebut yang terjejas akibat cuaca tidak menentu ketika musim tengkujuh.

“Di peringkat LKIM, nelayan-nelayan yang terlibat dengan bencana contoh bumbung tercabut dan sebagainya, memang kita ada peruntukan bencana setiap tahun yang diberikan kepada nelayan.

“Untuk tahun ini peruntukan memang tidak ditambah, tapi untuk tahun depan sebab musim banjir belum berakhir, saya harap menteri baharu akan beri tambahan bajet kepada nelayan.

“Golongan nelayan ini, kita beri mereka bantuan enjin bot, dengan enjin itu mereka ke laut dan dalam masa sama bantu menyelamatkan mangsa banjir jika ada keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Bantuan Enjin Sangkut kepada 25 nelayan tempatan di Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Matang di sini, hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang menggesa cadangan kenaikan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) daripada RM300 ke RM500.

Jelasnya, cadangan itu akan dibawa ke Persidangan Dewan Rakyat, bulan ini.

Katanya, kerajaan boleh melaksanakan kenaikan itu tanpa melibatkan peruntukan tambahan iaitu dengan hanya mengurangkan bantuan subsidi minyak kepada nelayan.

“Saya ada formula tersendiri dan selepas membuat kira-kira, ia dapat dilaksanakan tanpa peruntukan tambahan dan tidak menjejaskan pelaksanaan serta penangkapan ikan.

“Dengan kenaikan ini, hampir 40,000 nelayan seluruh negara bakal mendapat tambahan ESHN sebanyak RM96 juta setahun yang hanya diambil daripada subsidi minyak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI