fbpx

Che Ta sarung busana RM80,000 sempena ‘anniversary’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHE Ta sekali lagi mencuri tumpuan apabila mengenakan sepasang busana pengantin berona putih berharga RM80,000 sempena menyambut ulang tahun perkahwinannya yang kesembilan bersama Zain Saidin.

PETALING JAYA – Pelakon dan usahawan jelita, Rozita Che Wan membuatkan ramai ternganga apabila menyarung busana hampir bernilai RM100,000 sempena ulang tahun perkahwinannya yang kesembilan.

Rozita atau mesra disapa sebagai Che Ta memaklumkan, selama sembilan tahun kembali melayari bahtera rumah tangga bersama lelaki yang 13 tahun jauh lebih muda, dia kembali percaya dengan kesucian ikatan pernikahan.

“Sembilan tahun (kahwin) dah sembilan kali sarung baju kahwin. Alhamdulillah, tahun ini rezeki dapat sarung baju kahwin harga RM80,000.

“12 tahun jadi ibu tunggal, tak pernah mengalah dengan perkahwinan. Kadang-kadang, Allah hantar ‘peneman’ untuk uji kesabaran kita.

“Kalau bersabar, kekallah bahtera yang kita bina. Kalau tak sabar, itu porak-poranda. Alhamdulillah, sembilan tahun, Allah hantar yang baik-baik sahaja,” katanya.

Sementara itu, pelakon yang cukup dikenali menerusi siri komedi Kiah Pekasam itu mendedahkan, suaminya, Zain Saidin tidak pernah memaksa dirinya dalam banyak hal termasuk mengemas rumah.

Sebaliknya, suaminya itu seorang yang sangat peka dengan perihal agama terutama membabitkan solat.

“Zain tak pernah suruh saya kemas rumah, tak pernah masak dan jauh sekali nak kawal pergerakan saya.

“Tapi, satu perkara yang dia selalu pesan berulang-kali setiap kali masuk waktu adalah ‘sayang dah solat?’.

“Tak sangka mat salih celup yang saya nikahi sangat utamakan bab agama. Ingat lepas kahwin, nak pakai skirt atas paha sahaja. Iyalah, saya pula ‘feeling’ macam kahwin dengan mat salih.

“Tapi, perlahan-lahan saya tutup aurat. Alhamdulillah, ada sebab Allah hantar ‘peneman’ hidup kita. Tak kaya, tapi kami bahagia,” ujarnya.

Pada masa sama, Che Ta, 50, turut menasihatkan kaum Hawa agar tidak pernah berputus asa andai pernah berdepan kegagalan dalam perkahwinan sepertinya.

Sekadar info, pemilik nama sebenar Rozita Abu Bakar pernah mendirikan rumah tangga dengan lelaki bernama Azuar Effendy Zulkaply pada 1995, namun bercerai lapan tahun kemudian.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ammar Effendy dan Aniq Ezzra.

Pada 2013, Che Ta berkahwin dengan Zain dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Aaisyah Dhia Rana yang kini berusia lapan tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI