fbpx
Gerai jagung Tok Wan di Gurun, Kedah pernah tular pada awal tahun lalu.

Tarikan jagung cawan di kaki Gunung Jerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KIRA-KIRA setengah abad lalu, kebanyakan penduduk yang tinggal di sekitar kawasan kaki Gunung Jerai di Gurun, Kedah mengusahakan tanaman jagung di kawasan tanah lapang berhampiran rumah mereka.

Setiap kali tiba musim menuai, lambakan hasil jagung yang ditanam akan dijual di sepanjang tepi jalan utama Alor Setar-Sungai Petani di Gurun untuk menambah pendapatan keluarga.

Sejak itu, kawasan tersebut dianggap sebagai lubuk jagung kerana terdapat berpuluh-puluh gerai yang menjual jagung mentah dan jagung rebus di sepanjang kiri dan kanan jalan.

Sehingga kini, legasi perniagaan jagung di tepi jalan utama tersebut masih diteruskan oleh generasi baharu meskipun bekalan jagung mentah bukan lagi hasil tanaman penduduk setempat, sebaliknya diambil daripada pengusaha ladang jagung di Perak.

Banyak peniaga di situ didapati mengusahakan bisnes warisan famili.

Pengusaha jagung Tok Wan, Hamidah Bahari, 76, berkata, dia dan suaminya, Mustapa Ahmad, 80, meneruskan perniagaan jagung warisan arwah bapanya, Bahari sejak 40 tahun lalu.

Hamidah berkata, perniagaan jagung dahulunya dijalankan secara bermusim kerana hanya bergantung kepada hasil tanaman jagung mereka sendiri.

“Kini, perniagaan ini boleh dijalankan sepanjang tahun kerana bekalan jagung mentah sudah boleh didapati tanpa mengira musim.

“Pernah sebelum ini bekalan jagung mentah diambil dari negara jiran (Thailand), namun kini tidak lagi sejak ada pembekal dari Perak,” katanya ketika ditemui Panorama di gerainya yang terletak di Gurun baru-baru ini.

Jelasnya, gerai jagung Tok Wan bermula dengan menjual jagung mentah dan jagung rebus sahaja.

“Namun begitu, sejajar dengan peredaran zaman dan perubahan selera pelanggan, kita turut menjual jagung cawan yang digaul bersama mentega, santan, susu lemak manis dan taburan serbuk lada.

Jagung cawan dan jagung tongkol rebus yang dijual di gerai jagung Mama Mas.

“Alhamdulillah, sejak kami memperkenalkan menu jagung cawan resipi air tangan Tok Wan (Mustapa) beberapa tahun lalu, sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

“Lebih mengejutkan apabila jagung Tok Wan tular di media sosial sekitar awal tahun lalu sehingga hampir setiap hari kedai kami diserbu pelanggan dari pelbagai pelusuk negeri,” katanya.

Katanya, disebabkan faktor kenaikan harga barang kini, harga jagung Tok Wan juga terpaksa dinaikkan daripada RM4 menjadi RM4.50 secawan.

Tambah Hamidah, memandangkan usianya dan suami sudah lanjut dan faktor kudrat yang semakin lemah, perniagaan jagung tok wan kini banyak diuruskan oleh cucu mereka Aidil Azim Azman, 22.

“Sudah tiba masanya kami mewariskan pula perniagaan jagung ini kepada anak cucu kami sebagaimana yang dilakukan oleh arwah bapa saya dahulu.

“Kini, kami hanya fokus untuk menjual jagung cawan kerana paling mendapat sambutan berbanding jagung tongkol rebus,” jelasnya.

Sementara itu, pengusaha kedai jagung Mama Mas, Masriyah Mansor, 61, berkata, dia mengusahakan kedai jagung itu sejak 26 tahun lalu.

Menurutnya, perniagaannya itu kini banyak dibantu oleh anak bongsunya, Nor Aisyah Sabri, 24, bersama tiga orang lagi pekerjanya.

Ibu tunggal kepada tiga orang anak ini berkata, pendapatannya sebagai peniaga jagung telah membantunya menyara dan membesarkan anak-anaknya sehingga mereka dewasa.

Katanya, kedudukan gerai-gerai jagung di tepi jalan utama yang berdekatan dengan pusat pelancongan Gunung Jerai itu antara faktor utama perniagaan jagung di sini dapat bertahan sehingga ke hari ini.

“Bagaimanapun, adat berniaga pasti ada waktu pasang surutnya, namun peniaga-peniaga di sini tetap bertahan kerana perniagaan jagung ini sudah menjadi sumber pendapatan utama kebanyakan penduduk di sini.

“Biasanya, pelanggan akan ramai pada waktu hujung minggu atau ketika cuti-cuti umum sahaja.

“Selain jagung cawan yang dijual dengan harga RM4, saya juga masih menjual jagung tongkol rebus dan jagung mentah.

“Dalam pada itu, air nira dan kuih-muih tradisional juga ada dijual di sini bagi mempelbagaikan lagi pilihan untuk para pelanggan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN