fbpx

Tiga buah rumah dikosongkan susulan tanah runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara unit rumah yang terkesan kejadian tanah mengelongsor akibatkan dinding pecah dan rumah dimasuki tanah di Taman Halaman, di sini, semalam.

AMPANG JAYA – Tiga buah rumah diarah untuk dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga susulan kejadian tanah runtuh di Taman Halaman, di sini, semalam.

Arahan tersebut dikeluarkan ekoran berkemungkinan besar tanah masih bergerak disebabkan hujan yang berterusan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan selepas sebuah rumah terjejas akibat tanah runtuh di kawasan itu pada pukul 6.07 petang.

Katanya, pemeriksaan mendapati dua buah unit rumah banglo lima tingkat terkesan apabila tanah di bahagian belakang rumahnya telah mengelongsor lalu dimasuki tanah manakala sebuah lagi rumah dinding pecah.

“Siasatan mendapati, kejadian berlaku disebabkan hujan lebat yang turun secara berterusan sejak petang semalam.

“Setelah diteliti, kawasan rumah yang terkesan adalah jenis banglo sebuah yang terdapat sembilan buah rumah yang dibina di lereng bukit,” katanya dalam kenyataan awal pagi tadi.

Mohamad Farouk berkata, kejadian hujan yang berterusan juga menyebabkan air berlumpur mengalir sehingga ke hadapan rumah.

Sehubungan itu, sebanyak tiga buah rumah diarah dikosongkan kerana berkemungkinan besar tanah masih bergerak disebabkan hujan yang berterusan.

“Semua penghuni rumah terkesan telah berpindah ke rumah lain namun terdapat penghuni rumah masih enggan berpindah dengan alasan mempunyai emak yang sudah uzur walaupun dinasihati oleh pihak berkuasa.

“Pihak polis telah membuat kawalan di kawasan rumah tersebut dengan meletakkan sebuah Van Balai Polis bergerak dan mendirikan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bersama dengan BOMBA, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ),” katanya.

Dalam pada itu, tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian ini. – KOSMO! ONLINE.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI