fbpx
JASMINE SURAYA

Teka-teki agama, jodoh Jasmine Suraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAAT artikel ini dicernakan, pemilik nama lengkap Jasmine Suraya Chin Xian Mei sedang dihambat beberapa perihal.

Pertama, tentang kesahihan bakal menamatkan zaman bujang dalam waktu terdekat. Kedua, persoalan yang berlegar-legar tentang intuisinya mendalami agama Islam.

Kalau benar korelasi antara dua perkara tersebut, wanita berusia 33 tahun itu barangkali sedang mengenali hati budi seseorang dan sedang menunggu tanggal sesuai berbicara soal hatinya baik tentang cinta atau pegangan spiritualnya.

Perihal di posisi kedua barangkali amat berat untuk dibicarakan.

Andai sudah sampai waktu yang tepat, pelakon siri Hilang itu sendiri pasti tidak akan berbasa-basi menjawab dengan terperinci, sekali gus membasuh segala teka-teki bermain dalam fikiran ramai.

Apa yang pasti, anak kelahiran Kuching, Sarawak itu tidak menafikan sedang mendalami agama Islam, namun pada masa sama, banyak pihak yang hatinya perlu dijaga.

Perjalanan indah

“Saya ada menghadiri kelas agama dan itu adalah suatu perjalanan yang indah. Saya belajar secara berperingkat (tentang Islam) dan makin menyukainya kerana menjadi pegangan hidup.

“Perjalanan dalam industri seni berlaku dalam masa yang cepat. Satu hari kita berada di atas dan sebaliknya. Jadi, untuk memiliki sesuatu yang saya tidak ada dalam hidup (agama), bagi saya, rasa selamat dan stabil. Seperti ada arah,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.

Sebelum kisah masuk kelas agama, Jasmine pernah meraih perhatian ramai apabila terbabit dalam majlis ilmu anjuran Neelofa, pada Ogos lalu. – INSTAGRAM JASMINE SURAYA

Doa, tunggu dulu

Jasmine yang berketurunan Cina hanya memohon doa yang baik-baik daripada orang ramai seraya diberikan ruang untuk belajar tentang agama secara perlahan-lahan.

“Untuk memiliki mereka yang tidak menghakimi, macam kawan-kawan yang mengajar saya, rasanya selamat.

“Cuma, kalau boleh tak mahu ulas mengenai perkara itu kerana perihal tersebut bersifat peribadi. Kalau boleh, tak nak orang asyik bertanya itu dan ini.

“Biarlah perlahan-lahan belajar. Saya sayangkan sesebuah agama itu, saya tak mahu prosesnya berlaku dalam keadaan yang tertekan.

“Apa pun, saya bersyukur kerana ada juga ikuti sesi belajar bersama Neelofa secara zoom meeting,” katanya.

Meneruskan bicara, Jasmine mempunyai alasan logik berhubung keterbatasannya membuat perkongsian aktiviti yang dilakukan termasuk mengikuti majlis ilmu. Dia sebenarnya enggan dihakimi orang luar secara membuta-tulis atau membuka ruang untuk sewenang-wenangnya dikritik pihak lain.

“Ketika saya menghadiri majlis anjuran Neelofa, saya pakai pelitup muka kerana kalau boleh tak mahu ada yang kenal, duduk pun di belakang. Cuma, saya hadir untuk sekadar mendengar.

Mengakui sedang mendalami agama Islam, Jasmine bagaimanapun menyifatkan soal spiritual sebagai sangat sensitif dan tidak sepatutnya terlalu dicanangkan kepada umum.

“Apabila membabitkan media sosial, itu adalah sesuatu yang tidak boleh disekat.

“Tetapi, saya tak nafikan ada ketika rasa kurang selesa apabila sesetengah perkara yang saya lakukan menerima kritikan.

“Malah, kritikan yang diberikan kadang-kadang dahsyat seolah-olah menjurus kepada serangan peribadi.

“Misalnya, orang mengkritik mengenai pemakaian atau mempertikaikan soal agama serta budaya. Niat kita mungkin berbeza tetapi orang salah erti, begitulah.

“Kendatipun begitu, saya rasa ramai juga yang terbuka mengenainya cuma saya tidak mahu mengulas panjang kerana soal (agama) sangat sensitif.

“Sebab itulah saya memilih untuk tidak berkongsi terlalu banyak,” terangnya.

Dalam pada itu, ditanya tentang kebenaran dirinya akan mendirikan rumah tangga dalam waktu terdekat, Jasmine lebih selesa untuk tidak berbicara lanjut tentang hal terbabit.

“Saya minta maaf tak dapat ulas lanjut mengenai perkara tersebut (kahwin) sebab sekarang sedang sibuk dengan penggambaran.

“Apa-apa (perincian) saya akan umumkan dalam Instagram saya. Tunggu ya,” ujarnya ringkas.

Diajak berbicara tentang projek drama terbaharu berjudul Hilang yang menyaksikan dirinya memainkan peranan bernama Cay, Jasmine berharap akan lebih diberi peluang melakonkan watak di luar kotak yang bernuansa bebas sedemikian.

JIKA benar akan berkahwin dalam masa terdekat, Jasmine berjanji akan berkongsi berita tersebut kepada khalayak.

Letak orang ada ‘ilmu’

“Bagi saya, seni itu satu pendidikan. Drama televisyen dan online tak sama. Tidak mengapa, kerana semua ini (melibatkan kebebasan dan penerimaan audiens) ambil waktu.

“Kalau kita tengok Korea Selatan, pencapaian hebat mereka sekarang tak berlaku dalam sekelip mata.

“Ambil masa untuk dunia menghargai industri dan filem mereka. Sejujurnya, kita masih ketinggalan jauh kerana masih terlalu banyak sekatan dalam berseni.

“Kadang-kadang jalan cerita drama atau filem bagus, namun tidak dibongkar sehabis baik,” ujarnya.

Sebagai anak seni yang cakna tentang kemajuan industri seni tanah air. Jasmine mengharapkan keterbukaan semua pihak dalam industri penuh sepak terajang ini lebih bersifat matang dengan kepimpinan yang baharu.

“Bukan kita mahu terlalu bebas macam orang Barat, namun berilah ruang untuk orang kreatif berkarya. Jangan disekat dan tumpulkan pemikiran. Isu bersifat ‘double meaning’ juga tidak semestinya berakhir dengan seks dan perkara seperti itu.

“Pada masa sama, pastikan orang yang memegang jawatan di jabatan atau apa-apa melibatkan seni, punya pengalaman atau bergiat dalam bidang ini. Bukan hanya dapat jawatan sebab ketamakan kuasa atau kroni,” ujarnya menggulung bicara.

Jasmine kini muncul sebagai pegawai polis bernama Inspektor Cay dalam siri originals Viu berjudul Hilang arahan Ghaz Abu Bakar dan
Sein Qudsi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN