fbpx

Mahkamah: Abdul Azeez lepas, bebas 9 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Azeez.

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hari ini dilepas dan dibebaskan daripada tiga tuduhan rasuah dan enam tuduhan pengubahan wang haram berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Dalam prosiding hari ini di Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan notis usul yang dikemukakan peguam bela Amer Hamzah Arshad supaya anak guamnya dibebaskan terus daripada semua pertuduhan berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim, memaklumkan kepada mahkamah, pendakwaan tidak membantah permohonan notis usul Abdul Azeez.

“Oleh kerana tiada bantahan daripada pendakwaan, notis usul ini dibenarkan dan pemohon dengan ini dilepas dan dibebaskan daripada semua tuduhan,” kata hakim.

Dengan keputusan itu, bermakna Abdul Azeez kini bebas dan lepas dan tidak boleh dituduh lagi atas semban pertuduhan yang sama.

Bagi tiga pertuduhan rasuah, Abdul Azeez didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM dan Seksyen 28(1)(c) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan beliau boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara untuk enam pertuduhan pengubahan wang haram, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pada 23 September lalu, bekas Ahli Parlimen Baling itu dilepas tanpa dibebaskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen selepas pendakwaan memohon beliau dilepas tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Acara Jenayah atas alasan representasi tertuduh dipertimbangkan dan memerlukan siasatan lanjut.

Kemudian pada 5 september lalu Abdul Azeez gagal dalam rayuannya untuk membatalkan sembilan pertuduhan tersebut yang dihadapinya di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Keputusan sebulat suara (unanimous) itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md. Said selepas menolak permohonan Abdul Azeez selaku pemohon.

Bagaimanapun empat lagi pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram, permohonan perayu untuk mengugurkan empat pertuduhan itu dibenarkan.

Sebelum ini, Abdul Azeez merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonannya untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Sebelum ini, pada Januari 2019, Abdul Azeez, 55, didakwa atas 13 pertuduhan berkaitan projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya di Kedah dan Perak iaitu melibatkan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan 10 pertuduhan penggubahan wang haram.

Projek tersebut melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI