fbpx

Tauke boleh gulung tikar jika telur turun harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

IPOH – Pengusaha-pengusaha ayam telur di negeri ini berharap agar kerajaan tidak menurun­kan harga jualan hasil ternakan itu kerana ia bakal menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Menurut seorang pengusaha ayam telur dikenali sebagai Goh, ramai dalam kalangan mereka bakal gulung tikar jika kerajaan memutuskan untuk menurun­kan harga telur ayam.

Menurutnya, harga telur yang tinggi direkodkan ketika ini ­adalah disebabkan oleh kekurangan bekalan tersebut, namun mereka percaya ia akan turun apabila masalah itu diatasi satu hari nanti.

“Apa yang akan berlaku sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk menurunkan harga telur adalah, peniaga-peniaga kecil akan berhadapan dengan kerugian sehingga menyebabkan mereka terpaksa menutup perniagaan.

“Jika keadaan itu berlaku, ha­nya syarikat-syarikat besar yang akan tinggal dan mendapat keuntungan daripada situasi tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kelmarin Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu memaklumkan pihak kementerian telah mengenal pasti beberapa sumber dari luar untuk menampung keperluan bekalan telur ayam dalam kadar segera.

SITI NUR AIN menunjukkan pavlova jualannya yang menggunakan 50 papan telur ayam seminggu di Kuala Terengganu semalam.

Jelasnya, tindakan itu perlu dilakukan bagi memastikan bekalan telur ayam dalam negara tidak terputus dan bukannya untuk menekan pengusaha industri tempatan.

Mengulas lanjut, Goh berkata, kerajaan sebaliknya boleh membantu golongan pengusaha ayam telur dengan membenarkan harga bahan tersebut ditentukan oleh pasaran bebas.

Dalam pada itu, di Terengganu, rata-rata peniaga makanan yang menggunakan telur sebagai bahan utama dalam menu jualan berharap kerajaan segera mengumumkan harga bagi telur ayam import.

Seorang peniaga pavlova, Siti Nur Ain Roslan, 33, pula berkata, dia terpaksa membeli telur ayam gred AA dengan harga RM16 sepapan ketika ini berbanding hanya RM13 sebelum ini.

“Bahan utama pavlova adalah telur ayam dan saya menggunakan lebih 50 papan (telur ayam) sebulan.

“Saya harap kerajaan dapat umumkan segera harga baharu telur ayam import itu nanti untuk memudahkan saya membuat perancangan perniagaan,” kata­nya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Bagi peniaga nasi kandar, Norharizan Hassan, 45, yang menggunakan 100 hingga 150 biji telur ayam setiap hari juga senada dengan Siti Nur Ain.

Dia berkata, kerajaan tidak boleh ‘mengunci mulut’ terlalu lama kerana dikhuatiri peniaga pula yang terpaksa menyerap kenaikan kos harga bahan mentah itu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI