TERSOHOR dan dijulang tinggi tidak sesekali membuatkan lima figura yang menunjangi kumpulan asal Surabaya, Padi Reborn mendabik dada mahu pun lupa diri.
Bagai diluah vokalisnya, Fadly atau nama sebenar, Andi Fadly Arifuddin, 47, ketika Konsert 25 Tahun Padi Reborn yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, hujung minggu lalu, pemilihan nama Padi sangat signifikan buat mereka.

Seakan-akan surat aku janji, bersaksikan sekitar 2,400 orang penonton, sekali lagi pengasas kumpulan tersebut menyatakan harapan mereka untuk terus mengikut resmi padi.
“Terima kasih atas sokongan Sobatpadi Malaysia yang sudah bersama kami sejak lebih dua dekad lalu sehingga Padi Reborn kembali bertemu anda semua selepas empat tahun.
“Inilah negara pertama yang kami jejaki usai fasa pandemik Covid-19 dan paling istimewa tentu saja kerana pertemuan ini bersempena sambutan jubli perak band ini.

Semangat padi
“Bersama semangat Padi Reborn, jiwa raga kami tidak mungkin berubah, malah tetap sentiasa mengingatkan diri, semakin berisi semakin tunduk,” kata Fadly bersambut sorakan khalayak.
Selain Fadly, Padi Reborn diperkukuhkan Piyu (di posisi gitar utama), Ari (gitar), Rindra (bass) dan Yoyo (dram).
Fakta paling menarik mengenai mereka adalah sepanjang berkarya, Padi Reborn yang asalnya menggunakan nama Padi tidak pernah berganti anggota sekali pun mengambil keputusan berehat selama tujuh tahun bermula 2010.
Seperti peminat tegar yang digelar Sobatpadi, ikatan kelima-lima tunjang Padi Reborn itu nyata terlalu utuh hingga mereka tidak berpaling antara satu sama lain.
Dalam santai, namun cukup mempesona. Bayangkanlah daripada album Sesuatu Yang Tertunda terbitan tahun 2001 menjadi pemanas sebaik tirai Konsert 25 Tahun Padi Reborn dibuka tepat pukul 8.30 malam.

Ditunggu-tunggu
Hampir tiga jam beraksi bagai tiada lelah, pelbagai seleksi hits dari album studio sulung Lain Dunia yang diterbitkan dua tahun selepas penubuhan band berkenaan hingga Indera Keenam diperdengarkan.
Momentum malam bersejarah itu dihangatkan Sang Penghibur, Rapuh, Lain Dunia, Sesuatu Yang Indah, Ternyata, Sobat, Sahabat Selamanya, Cinta Tempat Terakhir, Mahadewi dan Begitu Indah.
Sudah pasti ‘anthem’ Padi Reborn yang ditunggu-tunggu, Menanti Sebuah Jawaban antara dendangan paling meraih sambutan Sobatpadi hingga gema di Zepp bagaikan enggan berakhir.
Tanpa berceloteh panjang apabila fokus lebih kepada untaian dendangan yang membuai khalayak, hanya sesekali Fadly berhenti bernyanyi untuk berbual seketika, selain tidak ketinggalan mengimbas memori lampau.

25 tahun lagi
Tentu saja sorakan penonton kedengaran sebaik cerita pendeknya tertumpu kepada kenangan manis sewaktu bertandang ke negara ini, malah mereka mengakui pernah ‘berkampung’ selama dua minggu di sini bagi menjayakan siri jelajah.
Padi Reborn juga teruja dapat memenuhi keinginan meraikan sambutan jubli perak dengan berkongsi pentas bersama idola mereka, Datuk Sheila Majid.
Lagu Kasih Tak Sampai daripada album kumpulan itu, disusuli duet bagi seleksi wajib Sheila iaitu Antara Anyer dan Jakarta serta Warna mendapat tepukan gemuruh.
Turut menyuntik adrenalin apabila mereka menyelitkan segmen wajib akustik, malah jika dilihat semula repertoire persembahan, sebanyak 25 lagu dibawa pada malam tersebut, sekali gus menjadi justifikasi usia band berkenaan.
Hakikatnya tidak terasa Padi Reborn sudah berkarya selama itu, malah dalam berbicara mereka secara tidak langsung berharap mampu beraksi menghiburkan Sobatpadi untuk 25 tahun lagi.

















