fbpx

KKR buka bilik gerakan hadapi Monsun Timur Laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander (tengah) bersama Ketua Setiausaha KKR, Datuk Wan Ahmad Uzir (kiri) melakukan tinjauan ke pusat gerakan berkenaan di ibu negara, semalam.

PUTRAJAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR) membuka Bilik Gerakan Bencana (BigBen) bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam disebabkan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka akan berlarutan sehingga Mac 2023.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif yang digerakkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) itu berfungsi sebagai unit pusat setempat (one stop centre) bagi menguruskan maklumat kejadian bencana.

Menurutnya, ia melibatkan maklumat kejadian seperti banjir, jalan mendap dan jambatan rosak atau runtuh yang melibatkan jalan seliaan JKR iaitu Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri di seluruh negara, di samping maklumat terkini jalan-jalan alternatif.

“BigBen ini diharap dapat menjadi sumber rujukan kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan masyarakat bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan bencana alam di kawasan terjejas.

“Maklumat yang cepat melalui BigBen ini bukan sahaja dapat membantu memberikan maklumat yang tepat kepada masyarakat tetapi juga kepada pasukan keselamatan yang bertugas di kawasan bencana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, KKR telah mengambil langkah kesiagaan dalam menghadapi MTL kali ini dengan mengenal pasti lokasi laluan yang kerap berlaku bencana, menjalankan pemeriksaan jalan, cerun, longkang dan pembentung dari masa ke semasa selain memasang pancang-pancang kayu penunjuk aras banjir di jalan-jalan yang kerap berlaku banjir.

Selain itu katanya, KKR turut mempersiapkan sejumlah 2,580 pelbagai jentera diseluruh Semenanjung yang diperlukan bagi kerja-kerja kecemasan untuk digunakan ketika berlakunya bencana dan menyediakan laluan alternatif.

“KKR turut bersiap siaga menggerakkan aset Jambatan Panel Keluli Bermodular (Bailey Bridge) iaitu jambatan sementera yang boleh dipasang siap dalam tempoh minimum 36 jam sebagai laluan alternatif bagi menghubungkan kawasan yang terputus akibat bencana.

“Jambatan ini merupakan antara aset penting di KKR yang terbukti berkesan dalam usaha kementerian mengambil tindakan pantas berhadapan dengan situasi bencana alam.

“Keberkesanan aset ini dapat dilihat melalui rekod pembinaan jambatan Bailey di Hulu Langat ketika kawasan itu terputus hubungan akibat banjir pada tahun lalu yang mana pembinaannya mengambil masa kurang daripada 24 jam,” ujarnya.

Tambah beliau, ketika ini JKR mempunyai 2,180 kaki Jambatan Panel Keluli Bermodular yang disimpan di tujuh stor penyimpanan di seluruh Semenanjung meliputi Petaling (Selangor), Temerloh (Pahang), Kuala Pilah (Negeri Sembilan), Kinta (Perak), Johor Bahru (Johor), Alor Star (Kedah) dan di Machang (Kelantan). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI