fbpx

Geng Udin curi motosikal di masjid tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN ZAHARI (kanan) menunjukkan sebahagian motosikal yang dicuri ‘Geng Udin’ yang berjaya dirampas pihak polis dalam satu serbuan baru-baru ini.

KUANTAN – Sindiket curi motosikal yang dikenali sebagai ‘Geng Udin’ berjaya ditumpaskan pihak polis dengan penahanan dua ahli kumpulan terbabit.

Kumpulan terbabit dikatakan menjadikan masjid sebagai sasaran kegiatan mereka mencuri motosikal.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Zahari Wan Busu berkata, dua suspek yang ditahan merupakan warga tempatan berusia 29 dan 44 tahun.

Katanya,pihak polis menerima laporan berturut-turut berkaitan curi motosikal di sebuah masjid, dekat Jaya Gading, awal November lalu.

“Suspek dipercayai memilih waktu Subuh sebagai masa yang sesuai melakukan kegiatan tersebut.

“Kejadian pertama berlaku 11 November lalu di mana mangsa berusia 51 tahun telah kehilangan motosikal ketika sedang solat Subuh.

“Kes kedua dilaporkan berlaku pada 29 November lalu membabitkan mangsa berusia 42 tahun,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, hari ini.

Wan Zahari berkata, bertindak atas maklumat polis, satu serbuan telah dibuat di sebuah pondok dalam kawasan Jaya Gading dan berjaya menahan dua invididu dipercayai terbabit dalam kes curi motosikal.

Katanya, pihak anggota Task Force Lejang dan Bahagian Siasatan Jenayah Kuantan dan Jaya Gading yang melakukan serbuan turut merampas sebuah motosikal curi serta kereta digunakan dalam kegiatan tersebut.

“Hasil siasatan lanjut terhadap kedua-duanya, polis menemui satu spanar yang telah diubah suai dan dua buah lagi motosikal dilaporkan hilang di Kuantan dan Temerloh.

“Kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu mempunyai rekod lampau dalam kesalahan jenayah dan narkotik.

“Mereka (suspek) akan dituduh di Mahkamah Kuantan, esok di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang mana boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih daripada tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI