fbpx
SEORANG peniaga kedai runcit di Bandar Lama, Gua Musang menunjukkan minyak masak peket yang dijual di premisnya semalam. – AIMUNI TUAN LAH

B40 setuju guna kupon beli minyak peket, cadang pakai MySejahtera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Rata-rata peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) dan golongan B40 di kawasan luar bandar setuju dengan cadangan sistem kupon ketika membeli minyak peket bersubsidi bagi elak ketirisan.

Malah, ada yang mencadangkan sistem kupon dibuat melalui aplikasi MySejahtera bagi memudahkan prosedur tersebut.

Di Gua Musang, Kelantan, seorang peniaga makanan, Hasnah Awang, 50, berkata, golongan peniaga kecil sepertinya berharap sistem yang bakal dibuat itu mudah dan prosedurnya tidak merumitkan.

Katanya, sistem itu dilihat dapat membantu B40 berhadapan kenaikan kos sara hidup dan inflasi ketika ini.

“Selaku peniaga, saya berharap sistem kupon yang bakal diperkenalkan itu mudah digunakan seperti aplikasi My­Sejahtera yang pernah kita gunakan sebelum ini.

“Kerajaan boleh memantau golongan sasaran melalui aplikasi sistem itu. Saya pasti sistem ini berkesan untuk agihan kupon dan mampu menyasarkan golongan yang benar-benar layak me­nerima subsidi,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Harimah Ahmad, 40, berkata, pelaksanaan subsidi bersasar merupakan langkah terbaik berbanding pemberian bantuan tunai buat golongan B40.

Katanya, bantuan tunai dilihat lebih kepada bantuan jangka pendek untuk mengurangkan beban kos sara hidup pengguna.

“Sebelum ini, subsidi minyak masak yang sepatutnya dinikmati oleh golongan B40 berlaku ketirisan apabila ia turut dibeli oleh golongan peniaga, malah banyak yang diseludup ke negara jiran.

Sementara itu, di Klang, Selangor, seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah, Asmira Muhamad. Radzi, 30, berkata, dengan kos sara hidup mening­kat, sistem kupon amat bagus bagi golongan B40.

“Lagipun kami golongan susah dan minyak masak peket amat diperlukan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Seorang pekerja pembersihan, P. Rajeswari, 48, menambah, sistem kupon itu menunjukkan keadilan dan ketegasan kerajaan dalam melindungi kepentingan golongan B40 dan peniaga industri kecil dan sederhana. -KOSMO! ONLINE

POPULAR