fbpx

2 bekas polis ditahan, didakwa lupus bukti tragedi rempuhan Itaewon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis berjalan di tengah-tengah barangan milik mangsa-mangsa rempuhan yang ditemui di lokasi kejadian di Seoul, 1 November lalu. - AFP

SEOUL – Dua bekas pegawai polis Korea Selatan ditahan Isnin lalu selepas mereka dituduh memusnahkan bukti-bukti berkaitan dengan kejadian rempuhan di Itaewon, Seoul ketika sambutan Halloween baru-baru ini.

Menurut stesen penyiaran CNN, penangkapan bekas pegawai risikan polis, Park Sung-min dan Kim Jin-ho dari Polis Yongsan adalah yang pertama dalam siasatan berterusan terhadap bencana yang mengorbankan 158 orang pada Oktober lalu.

Kedua-dua pegawai polis itu didakwa mengarahkan anggota bawahan mereka untuk memusnahkan laporan dalaman mengenai risiko yang berpunca daripada perhimpunan besar orang ramai di Itaewon semasa perayaan Halloween.

Kedua-dua pegawai tersebut telah pun dilucutkan daripada jawatan mereka November lalu berikutan cara mereka mengendalikan insiden tersebut.

Di bawah syarat waran tangkap untuk kedua-dua pegawai polis itu yang dikeluarkan oleh mahkamah Seoul pada Isnin, pendakwa raya kini mempunyai masa selama 10 hari untuk memfailkan pertuduhan terhadap mereka.

Mahkamah juga menolak waran tangkap dikeluarkan untuk bekas pegawai Polis Yongsan, Lee Im-jae yang merupakan ketua balai dan bekas pegawai pemantau kecemasan, Song Byung-joo. 

Kedua-duanya disyaki melakukan kecuaian profesional berhubung kejadian rempuhan itu yang mengakibatkan kematian orang ramai dan kecederaan. 

Berikutan tragedi tersebut, unit polis khas telah dibentuk untuk menyiasat kejadian tersebut dengan laporan-laporan dalaman pihak berkuasa dan panggilan kecemasan dikumpulkan bagi mengetahui punca insiden rempuhan itu berlaku. 

Menurut log panggilan tersebut, sekurang-kurangnya 11 panggilan kecemasan dibuat kepada polis bagi memohon kawalan ke atas orang ramai dilakukan sebelum pasukan penyelamat dihubungi.

Panggilan pertama diterima seawal empat jam sebelum tragedi itu berlaku. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI