fbpx

PRU15: Pengundi tidak tahu ada calon tarik diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azieza Nour Afifah (kanan) bersama dua kakaknya mengundi bagi Parlimen Padang Serai di SMK Sultan Badlishah, hari ini.

KULIM – Sebilangan pengundi di Parlimen Padang Serai masih tidak tahu dua calon bagi kerusi itu menarik diri untuk memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Mohamad Sofee Razak.

Penuntut universiti, Azieza Nour Afifah Azman Zahidi, 20, dia tidak mendapat makluman mengenai perkara itu dan datang mengundi calon pilihannya.

“Saya rasa teruja kerana ini merupakan kali pertama saya mengundi dan kebetulan sekarang adalah cuti pertengahan semester.

“Saya baru balik ke kampung di Kampung Tunku Putra di sini pada Jumaat lalu dan tidak tahu ada calon tarik diri,” katanya ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Badlishah di sini hari ini.

Seorang pekerja kilang, Norizayu Azli, 19, berkata, dia juga tidak mengetahui ada calon menarik diri.

“Saya tidak pernah dengar pula, saya datang undi seperti biasa,” ujarnya.

Seorang suri rumah, Fauziah Desa, 58, berkata, dia kini tinggal dalam Parlimen Kulim-Bandar Baharu dan mungkin terlepas daripada mendapat maklumat itu.

“Saya undi untuk Parlimen Padang Serai kerana dulu menyewa di sini manakala tujuh anak sudah mengundi di Parlimen Kulim-Bandar Baharu sebelum ini,” ujarnya.

Sebelum ini, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Serai, Datuk C. Sivaraj dan calon Parti Warisan, Mohd. Bakhri Hashim mengumumkan menarik diri bagi memberi laluan kepada calon PH, Mohamad Sofee.

Walau bagaimanapun, nama dua calon tersebut tetap ada pada kertas undi memandangkan mereka tidak menarik diri secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari penamaan calon.

Proses pengundian di kerusi itu diadakan pada hari ini susulan kematian calon PH, M. Karupaiya di Parlimen Padang Serai pada 16 November lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI