fbpx

Tangguhkan dulu hasrat bercuti di Hatyai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERKHIDMATAN kereta api State Railway of Thailand (SRT) ditangguhkan susulan insiden pengeboman yang berlaku pada Sabtu lalu.

KANGAR – Bimbang keselamatan diri dan keluarga, rata-rata penduduk di negeri ini memutuskan untuk menangguhkan sementara perancangan mereka untuk bercuti di Hatyai, Thailand berikutan insiden pengeboman baru-baru ini,

Dalam kejadian pukul 2 petang Sabtu lalu, satu kejadian pengeboman dilaporkan berlaku berhampiran Stesen Kereta Api Klong Ngea, Sadao, Thailand dan mengakibatkan perkhidmatan kereta api State Railway of Thailand (SRT) ditangguhkan.

Penduduk Bintong di sini, Zuraini Mustaza, 42, berkata, dia terpaksa melupakan hasrat untuk membawa tiga anaknya ke Hatyai menggunakan kereta api dari Padang Besar dekat sini pada cuti sekolah atas faktor ke­selamatan.

“Bimbang juga mahu pergi Hatyai naik kereta api, mungkin saya akan lihat dulu keadaan se­bulan dua ini sebelum merancang semula ke sana,” katanya.

Katanya, keputusan itu dibuat berikutan rasa takut melihat keadaan kereta api kargo yang terbalik akibat letupan bom itu.

“Nasib baik bukan kereta api penumpang, kalau tidak, mungkin insiden berkenaan akan melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa,” ujarnya.

Penduduk Kuala Perlis, Zaidi Che Harun, 55, berkata, dia sekeluarga sememangnya merancang untuk ke Hatyai pada cuti sekolah ini dengan menaiki kereta api bagi memberi pengalaman baharu kepada anak-anak.

“Perancangan membawa anak-anak naik kereta api klasik sebab mahukan kelainan bercuti memang ada tetapi nampaknya terpaksa dilupakan.

“Apabila keadaan tenang, saya akan fikirkan semula untuk ke sana tapi yang pasti dengan van pelancong, bukan dengan kereta api,” jelas­nya.

Bagaimanapun, bagi Fatin Wardah Abdul Manaf, 31, yang berasal dari Alor Setar, Kedah dan menetap di Kangar berkata, kejadian dilihat tidak akan menjejaskan kemasukan pelancong ke negara itu dengan teruk.

“Mungkin ramai yang akan masuk menggunakan kende­raan sendiri atau van berbanding kereta api.

“Bagi saya, kejadian itu seperti disasarkan iaitu ke atas kereta api kargo, bukan kereta api bawa penumpang selain ia tidak berlaku di tempat tumpuan pelancong,” katanya.

Ujarnya, kejadian itu juga tidak melibatkan rusuhan atau tembakan rambang.

Tambahnya, dia kebiasaannya masuk ke Thailand bersama keluarga dengan kenderaan sendiri kerana lebih jimat.

Berita berkaitan: Letupan bom: Pelancong Malaysia tetap ke ke Hatyai naik van

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI