fbpx

Pengusaha glamping digalak mohon penggredan Kementerian Pelancongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Roslan (dua dari kiri) menyerahkan sijil penggredan Boulder Valley Glamping kepada Hang Ching di Balik Pulau, hari ini. - Foto IQBAL HAMDAN

BALIK PULAU – Kementerian Pelancongan menggalakkan semua pengusaha glamping di seluruh negara untuk mendapatkan penggredan di bawah agensi tersebut.

Setiausaha Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan, Roslan Mohammad berkata, dengan adanya penggredan itu, banyak manfaat dan faedah yang akan diperoleh pihak premis bagi meningkatkan keyakinan pelancong untuk menginap.

“Ini kerana, penilaian yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelancongan memberi penekanan kepada aspek keselamatan, kemudahan dan keselesaan yang ditawarkan kepada pelancong.

“Selain itu, aspek-aspek tambahan lain turut dititikberatkan di mana secara keseluruhannya terdapat 12 aspek kriteria yang dinilai tertakluk kepada lokaliti keberadaan kawasan glamping tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Sijil Penggredan kepada Boulder Valley Glamping Penang, di Teluk Bahang, di sini hari ini.

Boulder Valley Glamping berjaya menerima penggredan tiga Bintang Kategori Hotel Inovatif Resort di bawah Kementerian Pelancongan dan menjadi premis pertama yang diberikan penggredan itu di Malaysia.

Menurut Roslan, Kementerian Pelancongan menyasarkan lebih ramai pengusaha glamping yang akan diberikan penggredan pada tahun 2023.

“Setakat tahun ini, terdapat dua pengusaha glamping yang telah memohon untuk mendapatkan penggredan daripada Kementerian Pelancongan dan kita jangka jumlah mereka akan bertambah tahun depan.

“Bagaimanapun, antara syarat utama yang mesti dipatuhi pengusaha sebelum memohon untuk mendapatkan penggredan daripada Kementerian Pelancongan adalah mereka mesti mempunyai lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Jika mereka tidak dapat mematuhi syarat utama ini, pihak kementerian tidak akan dapat melaksanakan penggredan bagi pengusaha glamping dan kita nasihatkan semua pengusaha glamping untuk dapatkan lesen daripada PBT dahulu,” katanya.

Tambahnya, secara keseluruhannya pihak kementerian masih belum mempunya data lengkap mengenai berapa jumlah pengusaha glamping di seluruh negara memandangkan industri ini masih baharu berkembang dan mereka tidak mempunyai persatuan sendiri.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Boulder Valley Glamping Penang, P. Nagaswaran berkata, kejayaan Boulder Valley Glamping memperoleh penggredan itu merupakan satu kejayaan kepada pihak pengurusan resort tersebut untuk menjadikan resort itu lebih dikenali pelancong asing dan tempatan.

“Kita yakin selepas berjaya memperoleh penggredan tiga Bintang Kategori Hotel Inovatif Resort, kita akan komited untuk dapatkan penggredan empat bintang pula selepas ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI