fbpx
MOHD. HANIFF memberi Mohd. Zulyadain makanan ketika ditemui di Kampung Jarak Atas, Tasek Gelugor, Seberang Perai baru-baru ini.

‘Terima kasih rakyat Malaysia kerana bantu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI – Pesakit ­diabetes kronik, Mohd. Zulyadain Mohamad Radzi yang kisahnya pernah disiarkan dalam akhbar Kosmo! minggu lalu terharu apabila ramai pihak sudi membantunya termasuk menyumbang kaki palsu.

Mohd. Zulyadain, 38, berkata, selain sumbangan, ada juga yang memberikan kata-kata semangat terutama kenalan dari kampung­nya di Pendang, Kedah.

Paling mengharukan, seorang pembuat kaki palsu dari Butterworth bermurah hati menyumbangkan kaki palsu bagi memudahkan pergerakan hariannya.

“Memang tak sangka, malah saya dan Mohd. Hanif (teman serumah) berasa terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia.

“Kalau ada kaki palsu senang untuk bergerak ke mana-mana tanpa perlu bergantung dengan rakan serumah. Selama ini dia banyak berkorban termasuk berhenti kerja demi menguruskan saya di rumah.

“Jika diberi kekuatan, saya mahu berniaga secara kecil-kecilan dari rumah seperti menjual nasi lemak serta kuih-muih ke­rana minat memasak. Sekurang-kurangnya ada juga pendapatan,” katanya graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Mara itu.

Sementara itu, Mohd. Hanif turut menyatakan rasa kesyu­kuran atas keprihatinan ramai pihak yang menghulurkan bantuan bagi menampung keperluan Mohd. Zulyadain.

“Memang tidak sangka ada orang yang sudi membantu. Ada yang menghubungi untuk menghantar barangan keperluan. Rata-rata mereka dari Utara, Lembah Klang dan Melaka.

“Selain itu, ada juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berikan sumbangan kepada Mohd. Zulyadain.

“Asalkan kebajikan untuk Mohd. Zulyadain terbela ia sudah memadai bagi saya. Terima kasih rakyat Malaysia. Hanya Allah yang mampu membalasnya,” katanya.

Pada 1 Disember lalu, Kosmo! melaporkan kisah seorang pemuda yang menghidap penyakit diabetes kronik merayu bantuan untuk membeli kaki palsu bernilai RM4,000 selepas salah anggota badannya itu terpaksa dipotong sejak pertengahan tahun lalu. -KOSMO! ONLINE

POPULAR