fbpx
TEPAK ulam terbahagi kepada tiga elemen iaitu bekas-bekas seramik, kayu dan kain alas bermotif ulam yang dihasilkan menggunakan teknik cynotype.

Seni susun atur tepak ulam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MASYARAKAT di negara ini mungkin sudah sinonim dengan tepak sirih, namun tidak ramai yang tahu kini wujud tepak ulam.

Tepak ulam merupakan satu idea inovatif terbaharu daripada satu kumpulan dinamakan Warenakita yang menghasilkan produk kraf kontemporari.

Diperkenalkan kepada umum dalam TUKANG Design and Craft Festival 2022 anjuran Tourism Selangor baru-baru ini, tepak ulam dicipta untuk membolehkan susun atur ulam-ulaman pada hidangan.

Jika sebelum ini, ulam-ulaman atau ‘salad-salad Melayu’ itu mungkin diletakkan hanya di dalam mangkuk-mangkuk berbeza, idea kreatif tersebut membolehkan ulam-ulaman atau pencecah-pencecahnya disajikan lebih teratur dan cantik.

Penciptaannya adalah bagi meraikan falsafah ‘slow living’ atau kehidupan perlahan dalam mempromosikan penghayatan terhadap pengambilan ulam-ulaman pada zaman ini yang serba sibuk dan pantas.

Diusahakan oleh trio pereka Hanisah Nordin, Arief Afandi dan Balqis Mohd. Tajalli, kraf itu terdiri daripada tiga elemen berasingan yang disatukan menjadi tepak ulam.

Hanisah bertanggungjawab mereka bahagian bekas-bekas seramiknya, Arief membuat bahagian kayu dan Balqis menghasilkan alas kainnya atau seperah cyanotype bermotif tumbuhan ulam.

Penggunaan tepak ulam itu bergantung kepada cita rasa pengguna. Seramik-seramik itu boleh disusun secara bertingkat atau ditelangkupkan bergantung kesesuaian.

Hanisah, 32, yang merupakan pensyarah sambilan berkata, beliau berkolaborasi dengan rakan-rakan penggiat kraf untuk menghasilkan produk tepak ulam terbabit.

“Kami cuba mencari tema yang sangat relevan dengan kehidupan seharian masyarakat terutamanya berkaitan budaya dan warisan kulinari.

“Topik ulam menjadi pencetus idea kerana kami berpendapat ia satu topik yang sangat menarik untuk diketengahkan dan wajar diberi nafas baharu,” katanya.

Jelas Hanisah, bekas itu juga boleh disusun untuk menghasilkan dirian bertingkat atau boleh diletakkan di atas satu sama lain sebagai penutup bekas.

Menurutnya, Warenakita menekankan gaya hidup sederhana pada zaman moden dengan menggunakan bahan-bahan diperbuat daripada sumber alam.

“Tanah liat merupakan elemen utama dalam proses pembuatan kraf seramik, manakala mineral diperlukan sebagai bahan untuk glazing,” ujar Hanisah.

Ketika ditanya berapa lama masa diperlukan untuk menyiapkan mangkuk seramik, Hanisah berkata, secara kasar, dari permulaan sehingga siap sepenuhnya lazim mengambil masa sekurang-kurangnya 10 hari.

Terang Hanisah, ketika membuat prototaip, hasil yang pertama selalunya tidak seperti yang dimahukan, maka proses perlu diulang berkali-kali untuk penambahbaikan.

“Walaupun sukar, namun itu adalah satu proses yang harus diharungi untuk menghasilkan sesuatu yang bermutu,” katanya.

Hanisah menyatakan seramik boleh bertahan dari generasi ke generasi dan boleh dijadikan pusaka keluarga sekiranya dibuat menggunakan teknik yang bagus dan bahan berkualiti.

Sementara itu, Arief, 32, yang merupakan pensyarah bidang media seni rekaan berkata, kayu yang digunakannya bagi pembuatan tepak ulam tersebut ialah kayu nyatuh.

Arief berkata, pada awalnya, dia mencuba pelbagai jenis kayu ketika memproses prototaip sebelum mencapai hasil akhir.

“Antara jenis kayu yang digunakan adalah merbau, balau dan buluh, namun hasilnya tidak memberangsangkan. Saya akhirnya memilih kayu jenis nyatuh kerana mempunyai warna dan urat kayu yang sangat menarik,” jelas Arief.

DARI kiri: Balqis, Hanisah dan Arief menunjukkan kraf tepak ulam yang mereka hasilkan semasa festival TUKANG Design and Craft Festival di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Tambahan pula, katanya, kayu nyatuh juga bersesuaian dengan pembuatan kraf berasaskan Computer Numerical Control (CNC) kerana tidak terlalu keras.
CNC adalah perisian komputer yang digunakan bagi mempercepat proses pembuatan di mana pengguna hanya perlu memasukkan bentuk, saiz dan ukuran yang diperlukan.

Walaupun dipotong menggunakan mesin CNC, namun kayu tersebut akan diperhalusi secara normal dan memakan masa yang agak lama sebelum disaluti lilin lebah organik.

“Proses menghaluskan kayu mengambil masa yang agak lama kerana dilakukan secara manual demi mendapatkan hasil yang terbaik,” terangnya.

Menurut Arief, tepak kayu berbentuk bunga merupakan bentuk yang paling sukar untuk dibuatnya memandangkan masa diambil juga lebih lama untuk memastikan halus kualiti pembuatannya.

Arief berkata, selain kegunaan tepak ulam, kayu tersebut juga boleh dijadikan sebagai pinggan dan bekas untuk meletakkan kuih raya dan lain-lain.

Balqis, 32, yang bertanggungjawab menyiapkan kain seperah yang menjadi alas untuk meletakkan tepak ulam berkata, ia boleh ditebarkan mengikut kesesuaian saiz yang ingin digunakan.

Balqis menyiapkan kain seperah dengan menggunakan teknik cetakan cyanotype itu menggunakan ulam-ulaman sebagai motif utamanya.

“Bersesuaian dengan tema, antara ulaman yang saya gunakan adalah basil Thai, paku pakis dan bayam merah,” terangnya.

Balqis menyatakan cyanotype adalah satu proses fotografi tertua yang menghasilkan imej berwarna biru cyan menggunakan cahaya matahari.

Terang Balqis, cyanotype berbeza dengan teknik talbot atau daguerre kerana cyanotype tidak menggunakan larutan perak sebagai bahan utama.

“Bahan utama yang diperlukan untuk proses cetakan cyanotype ini ialah campuran dua cecair logam iaitu potassium ferricyanide dan ferric ammonimium citrate.

“Campuran cecair ini dapat menghasilkan warna biru ferric ferrocyanide atau lebih dikenali sebagai biru prussia,” jelasnya.

Tambah Balqis, proses cetakan cyanotype memakan masa selama satu hingga dua jam dan terdapat beberapa proses yang perlu dilalui.

Menurut kumpulan Warenakita, mereka turut berasa bertuah kerana dipilih mengetengahkan kraf di festival itu sekali gus produk mereka dapat diuar-uarkan kepada masyarakat setempat.

“Saya berharap agar lebih ramai anak muda menceburi bidang ini, dan Tourism Selangor melakukan satu inisiatif yang sangat bagus dalam menyokong penggiat seni kraf tangan,” ujar Arief.

Malah, Warenakita turut mempunyai inisiatif untuk menjual produk kraf tersebut kepada orang ramai dengan membuka tempahan awal sebanyak 50 set.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN