PETALING JAYA – Kewujudan peniaga dan penjaja kecil yang beroperasi di bahu-bahu jalan sejak kebelakangan ini dikatakan menjadi punca operasi pasar-pasar malam kini semakin sepi dan kurang mendapat sambutan daripada orang ramai.
Situasi itu berbeza berbanding suasana pada pada tiga tahun lalu apabila pasar malam menjadi lokasi tumpuan orang ramai yang mahu membeli pelbagai bahan mentah terutamanya makanan istimewa.
Keadaan itu sekali gus menyebabkan ada peniaga pasar malam terpaksa gulung tikar atau beralih kepada pekerjaan lain.
Hasil tinjauan Kosmo! baru-baru ini mendapati, ramai pelanggan lebih selesa berbelanja di gerai tepi jalan selain menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan berbanding datang sendiri ke pasar malam.
Seorang pelanggan pasar malam, Fairul Jumari, 46, berkata, kemeriahan ketika berasak-asak sewaktu membeli makanan dan bahan mentah di pasar malam kini tidak berlaku terutama di kawasan-kawasan bandar.
“Dahulunya iaitu sebelum pandemik Covid-19 wujud, peniaga berebut untuk dapatkan tempat di dalam pasar malam, namun kini keadaannya sangat sunyi dan tidak ramai peniaga.
“Pelanggan juga semakin pandai memilih makanan yang mereka mahukan dan makanan itu ada di jual oleh peniaga di tepi jalan. Jadi, tidak perlu lagi menunggu untuk datang ke pasar malam,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Fairul yang merupakan pelanggan setia di pasar malam Taman Dagang, Ampang sejak lebih 20 tahun mengakui, pasar malam perlu ditambah baik dari segi kualiti dan memiliki keistimewaan jika mahu kekal lama.
Seorang penjawat awam, Muhammad Syahrul Azwan, 37, pula berkata, dia dan keluarga hanya datang ke pasar malam sebulan sekali untuk mencari juadah-juadah istimewa.
“Sejak pandemik, kami memang sudah terbiasa makan di rumah atau beli makanan menggunakan perkhidmatan penghantar makanan. Kebiasaan itu sudah menjadi norma bagi kami.
“Lagipun, saya difahamkan banyak makanan yang dijual di pasar malam sudah naik harga menyebabkan orang ramai lebih memilih untuk membeli makanan di tepi jalan,” jelasnya.
Haziq Johan, 23, pula mengakui isu parkir di kawasan pasar malam yang agak terhad menyebabkan orang ramai memilih untuk tidak datang ke premis berkenaan.
“Sesetengah pasar malam tidak sediakan ruang letak kenderaan yang mencukupi dan selamat, kalau di gerai tepi jalan, kita boleh beli secara pandu lalu.
“Sekarang banyak kes kecurian berlaku, risau jika kereta yang diletakkan di tempat gelap akan membawa kepada kes samun atau rompak,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE















