fbpx
FAUZI (kanan) menyiapkan bangsal terapung yang dibina menggunakan tong sebagai persediaan menghadapi banjir di Kampung Tok Rusa, Pasir Mas semalam.

Guna duit simpanan RM1,000 bina bangsal ‘rakit’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS – Seorang penduduk di Kampung Tok Rusa di sini, menggunakan wang simpanan­nya sebanyak RM1,000 bagi membina sebuah bangsal terapung sebagai persediaan menghadapi musim banjir.

Fauzi Dollah, 59, berkata, bangsal kayu yang menggunakan enam tong sebagai pelampung dijadikan tempat untuk menyim­pan barangan perkakasan rumah dan elektrik daripada rosak ditenggelami banjir.

Katanya, dia menggunakan kanvas sebagai bumbung bangsal untuk melindungi barangan perkakasan rumah.

“Ini merupakan salah satu usaha saya untuk menyelamat harta benda memandangkan setiap tahun kawasan rumah se­ring ditenggelami banjir.

“Hanya anak-anak dan isteri yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), manakala saya akan bermalam di rumah kerana bimbang harta benda dicuri,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, persediaan awal ini penting bagi memastikan semua berjalan lancar sebaik sahaja air Sungai Golok mula melimpah masuk ke kawasan rumah.

Katanya, faktor cuaca yang tidak menentu membuatkan dia mengambil langkah awal dengan menyimpan semua barangan di tempat selamat.

“Setiap kali banjir, air yang masuk ke dalam rumah biasa­nya akan mencecah satu meter. Meskipun sudah biasa, namun kami tetap perlu waspada,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR