fbpx

Flat paling kotor di P. Pinang jadi port biak nyamuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Blok pangsapuri ini pernah tular di beberapa rangkaian media sosial sebelum ini akibat masalah kebersihan hingga pernah menerima gelaran flat terkotor di Pulau Pinang. ISWAN SHAFIQ ISA

SEBERANG PERAI – Sebuah blok pangsapuri di Perai di sini, yang sebelumnya tular sebagai flat paling kotor di Pulau Pinang kini diisytihar sebagai lokaliti wabak tidak terkawal dan berpotensi sebagai lokasi bahaya susulan lima kes demam denggi direkodkan sejak 6 November lalu.

Ketua Inspektorat Cawangan Penyakit Bawaan Vektor, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Mohd. Wazir Khalid berkata, berdasarkan satu pemeriksaan khas yang dijalankan di kawasan terbabit, terdapat banyak lokasi atau tempat yang tidak sepatutnya berlaku pembiakan nyamuk itu.

Beliau berkata, ini termasuk lopak-lopak air di bahagian lantai, longkang yang tidak ditutup dengan dengan sempurna serta kawasan-kawasan takungan air yang ‘diceroboh’ atau dibiarkan tanpa pemantauan sesiapa.

Lebih mengejutkan katanya, hampir setiap tingkat di blok pangsapuri setinggi 20 tingkat itu dikesan ditakungi air yang mengandungi tempat pembiakan jentik-jentik.

Mohd. Wazir menunjukkan sampel jentik-jentik yang dijumpai di kawasan takungan air di sekitar sebuah blok pangsapuri yang kotor di Perai, Butterworth, di sini hari ini.

 

“Kita akan hantar (sampel jentik-jentik ini) ke makmal untuk dianalisis bagi memastikan sama ada ia (jentik-jentik itu) tergolong dalam kategori ‘albopictus’ atau ‘Aegypti’.

“Sebenarnya, kedua-dua kategori ini boleh menyebabkan demam denggi dan kita berasa risau sekiranya berlaku peningkatan kes di sini kerana ia berisiko untuk membawa kepada kematian,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi mencegah denggi atau Op Vektor di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, ini kali keempat operasi seperti itu dibuat di kawasan berkenaan sepanjang tahun ini dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (PKDSPT) selain tiga kali pemantauan yang dijalankan oleh unit di bawah seliannya.

Bagaimanapun katanya, tiada sebarang perubahan berlaku khususnya dari segi kebersihan di sekitar blok pangsapuri berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya juga ada menganjurkan satu taklimat dan gotong-royong di sini, namun ia tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan sehingga sesi tersebut terpaksa dibatalkan beberapa minggu lalu.

“Saya difahamkan bahawa blok pangsapuri ini telah wujud di sini sejak lebih 20 tahun lalu dan pernah ditularkan beberapa tahun lepas kerana persekitarannya yang terlalu kotor dan menjijikkan.

“Bagaimanapun, senario itu masih sama hingga ke hari ini. Justeru, saya berharap agar penghuni yang terlibat serta masyarakat sekitar lebih bekerjasama dalam menangani isu ini daripada terus berlarutan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI