fbpx

Cukup-cukuplah ‘Mat Berat’ makan percuma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Golongan Mat Berat tidak memikirkan soal berkerja dan hanya goyang kaki menunggu ihsan orang ramai. - GAMBAR HIASAN

Sejak seminggu lalu kita dihidangkan dengan berita ‘Mat Berat’. Mereka yang malas bekerja dan mengharapkan bantuan orang ramai atau pihak berkaitan.

Perkara ini bukan baharu. Malaysia ada jutaan rakyat yang sangat pemurah daripada semua agama dan bangsa.

Kita tidak tahan bila orang datang meminta bantuan. Kepada mereka yang beragama Islam, ia tuntutan agama untuk sentiasa bersedekah atau membantu mereka yang susah supaya kita berkongsi kesenangan dan pada masa sama, menginsafkan diri tentang kepayahan orang lain.

Penggunaan terma seperti ‘saham akhirat’ menjadikan aktiviti bersedekah atau membantu golongan seperti gelandangan atau mereka yang susah ini lebih mendapat tempat.

Kepada bangsa lain, agama masing-masing menuntut mereka membantu orang susah. Jadi golongan miskin dan susah termasuk gelandangan sentiasa mendapat bantuan.

Hati rakyat Malaysia juga lembut. Tengok sahaja kisah sedih. Kesian. Bertalu-talu bantuan datang. Itu sebabnya kita tidak pernah mendengar rakyat negara ini mati kelaparan.

Dalam keadaan rakyat yang sangat bermurah hati itu, ada pihak yang mengambil kesempatan. Ada yang buat iklan ‘scam’, diedarkan gambar sakit dan terlantar.

Penderma yang ikhlas boleh menghantar bantuan kepada nombor akaun bank tertentu.

Ada juga pihak yang menggunakan institusi agama untuk kutip bantuan kononnya untuk anak yatim atau tahfiz.

Ada yang menggunakan anak yatim untuk berniaga sehingga lewat malam atas alasan Nabi Muhammad SAW itu sendiri berniaga semasa kecil. Maka orang ramai yang kesian pun membeli barangan yang mana keuntungan mengalir kepada penaja.

Itu belum dakwaan kumpulan tertentu menggunakan golongan hilang penglihatan untuk menagih simpati orang ramai dengan menjual tisu.

Malah, penulis sendiri pernah didatangi seorang bapa yang mendakwa anaknya sakit asma dan memerlukan rawatan di klinik yang mana akhirnya lelaki itu bersama anaknya dilihat di kedai kopi mahal yang harga segelas mencecah RM15.

Kebanyakan kita membantu kerana niat yang baik atas sama ada prinsip atau agama itu sendiri. Tetapi kebaikan ketika ini sering disalahgunakan hanya kerana jumlah wang yang terbabit adalah besar.

Kisah ‘Mat Berat’ ini contoh yang mana apabila terlalu lama dan tidak putus mendapat bantuan, kita mewujudkan segelintir masyarakat yang malas dan tidak mahu bekerja sedangkan dalam agama sendiri, kemiskinan itu adalah musuh utama.

Maka bersenang-senanglah golongan ini tanpa menggunakan tenaga dan keringat untuk mencari pendapatan seperti sebahagian besar rakyat.

Penyelesaiannya – pihak berkuasa harus ada satu pangkalan data penerima bantuan supaya tiada pihak mendapat kekayaan berganda dengan menjadi malas dan mengurangkan fenomena ‘Mat Berat’.

Bekerja untuk hidup dan bukan hidup tanpa bekerja. Kisah kemiskinan asli harus dibantu tetapi mereka yang menipu golongan yang tulus ikhlas membantu harus dikeji.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI