fbpx
KATIL dan bantal yang selesa diperlukan untuk mendapat tidur yang benar-benar lena.

Trend ‘pelancongan tidur’ semakin berkembang di Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEAWAL pukul 12 tengah hari, Maria Gonzales sudah terpacul di hadapan sebuah hotel mewah terletak betul-betul di tengah kota London, Britain.

Tujuannya pada hari itu cuma satu iaitu untuk berehat dan menenangkan diri yang sudah berbulan-bulan mempunyai masalah tidur.

Katanya, dia mengambil keputusan untuk mengambil cuti selama tiga hari dan memesan salah sebuah hotel yang menawarkan fasiliti ‘sleep tourism’ atau pelancongan tidur khas buat pengunjung yang berhadapan dengan masalah tidur.

Beritahu Maria, 36, dia yang bekerja sebagai akauntan di salah sebuah firma kewangan di London mendapat tahu mengenai ‘pelancongan tidur’ daripada rakan terdekat yang juga pernah mengalami masalah sama.

“Jujur saya sendiri sudah tiga bulan ada masalah tidur. Kadangkala dapat tidur lama tetapi tiada kualiti yang saya dapat daripada tidur itu.

“Jadi, bila saya cerita masalah tersebut kepada rakan, dia terus mencadangkan untuk saya menginap beberapa hari di hotel yang sama tempat dia menginap sebelum ini.

“Harga yang perlu dibayar boleh dikatakan standard hotel biasa, cumanya bilik yang ditempah itu memang direka khas untuk pengunjung datang tidur tanpa berbuat apa-apa,” katanya.

HOTEL Zedwell menjadi hotel berteraskan tidur pertama di London.

Kongsinya lagi, selepas tiga hari dua malam berehat dan menghabiskan masa di hotel tersebut, dia benar-benar memperolehi tidur yang betul-betul berkualiti sekali gus membantunya untuk lebih bertenaga.

Secara amnya, ‘sleep tourism’ atau pelancongan tidur merujuk kepada pengalaman tidur khas yang disediakan pihak hotel bagi membantu meningkatkan kualiti tidur seseorang.

Bilik penginapan yang disediakan pihak hotel memenuhi dan dilengkapi ciri-ciri khas seperti kedap bunyi, seleksi bantal dan selimut yang selesa, pencahayaan yang direka khas untuk merangsang tidur selain muzik khas meditasi sebelum tidur.

Menurut CNN, trend pelancongan tidur ini dilihat semakin berkembang di dunia pada masa ini dan menjadi pilihan terutama bagi mereka yang menghadapi masalah insomnia atau gangguan tidur.

PANDEMIK Covid-19 telah menyebabkan ramai orang mengalami gangguan tidur

Bagi penyelidik tidur, Dr. Rebecca Robbins, trend pelancongan tidur semakin mendapat tempat dan meningkat terutama di negara-negara Barat.

Seiring dengan trend tersebut, pihak hotel berlumba-lumba menawarkan fasiliti sebaik mungkin kepada pelanggan dalam usaha memulihkan tabiat tidur yang terganggu.

Katanya, konsep tersebut semakin popular sejak wabak maut Covid-19 membadai dunia sekali gus memberi impak kepada kesihatan manusia sejagat.

“Biasanya apa yang kita tahu, mana-mana pengunjung yang datang ke hotel untuk berehat dan menenangkan fikiran bersama tersayang.

“Namun, berbeza untuk pelancongan tidur, mereka (hotel) menawarkan penginapan atau pakej untuk membantu dan menggalakkan tabiat tidur dalam kalangan pengunjung.

“Ia bukan berkaitan soal berehat semata-mata atau lari daripada kerja dan kehidupan seharian yang memenatkan, tetapi lebih kepada membantu rangkaian sosial serta menyelesaikan masalah tidur seseorang,” katanya.

Hotel-hotel terkemuka kini banyak menumpukan kepada trend ini. Di Amerika Syarikat, Hotel Park Hyatt, New York telah membuka suite Bryte Restorative Sleep Suite iaitu bilik besar yang menawarkan kelengkapan menggalakkan tidur, manakala Rosewood Hotel & Resort di Texas menawarkan koleksi retreat yang dinamakan Alchemy of Sleep.

Hotel Zedwell pula menjadi hotel berteraskan tidur pertama di London, manakala syarikat pengeluar katil terkenal, Hastens mula mengoperasikan Hastens Sleep Spa di Coimbra, Portugal.

Pemilik Kings Hotel & Resort, Shreyas Kudalkar yang terletak di Mumbai India turut mula mengikut jejak langkah beberapa hotel Barat lain yang menawarkan pakej sama.

Jelas Kuldakar, sambutan yang diterima amat baik daripada pelancong luar dan dalam yang hadir ke hotelnya rata-ratanya mendambakan tidur berkualiti.

“Ramai yang menempah bilik dengan kami hanya kerana mahu tidur tanpa berbuat apa-apa aktiviti.

“Mereka sanggup datang dari jauh semata-mata untuk merasai dan mencuba sendiri pakej yang kami tawarkan dalam usaha membantu mereka menyelesaikan masalah tidur.

“Kami juga melihat, sub sektor pelancongan tidur ini bakal diterima ramai dan menjadi antara pilihan serta permintaan utama pada tahun-tahun mendatang dan diikuti seluruh negara lain di dunia ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN