fbpx

KL ungguli destinasi utama aktiviti mesyuarat dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norlizah memegang plak trofi untuk Kuala Lumpur sebagai juara kategori bandar raya destinasi mesyuarat utama global di Istanbul, Turkiye. - Foto Tourism Malaysia

PUTRAJAYA – Kuala Lumpur melakar sejarah apabila dipilih sebagai bandar raya destinasi utama di dunia untuk penganjuran aktiviti mesyuarat dan persidangan bertaraf antarabangsa.

Kejayaan tersebut dilaporkan oleh pejabat Tourism Malaysia di Istanbul, Turkiye menerusi hantaran berita dengan gambar trofi yang diraih dalam laman sosial rasmi agensi itu kelmarin.

Menurut laporan berkenaan, kemenangan itu diumumkan ketika acara Uzakrota Travel Awards 2022 yang berlangsung di Hotel Hilton Istanbul Bosphorus pada Selasa lalu.

Paling unik, Kuala Lumpur yang memperoleh 803 undian berjaya mengatasi bandar raya tuan rumah sendiri, Istanbul apabila sekadar berada di tangga kedua dengan 753 undian sahaja.

Pengurus Serantau Tourism Malaysia, Norlizah Jahaya menerima hadiah tersebut, manakala tempat ketiga kategori itu ialah ibu kota Britain, London yang menerima hanya 507 undian.

Penganugerahan berprestij tahunan itu diadakan bersempena Persidangan Pengembaraan Uzakrota dihadiri lebih 10,000 pelawat dengan 63 sesi melibatkan 200 peserta pembentang.

Acara ternama pelancongan global itu mula dianjurkan sejak 2010 namun pada tahun ini, Istanbul menjadi kemuncak selepas persidangan sama di Belgrade, Serbia dan Berlin, Jerman.

Sejumlah 45 kategori dipertandingkan dengan keputusan pemilihan membabitkan sebanyak 201,967 undi yang berdaftar dari seluruh dunia berbanding tahun lepas cuma 194,743 undi.

Selain itu, Malaysia juga meraih naib juara kategori destinasi pelancongan negara utama di belakang jiran serantau, Filipina manakala tempat ketiga disandang oleh Republik Dominika. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI