fbpx

Malakoff catat pendapatan RM3.18 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) mencatat pendapatan sebanyak RM3.180 bilion pada suku ber­akhir 30 September 2022 (Q3 2022) berbanding RM1.583 bilion suku yang sama berakhir 30 September tahun sebelumnya (Q3 2021).

Pengarah Urusan/ Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, pertambahan berganda dalam pendapatan itu dipacu oleh pembayaran tenaga yang tinggi daripada Tanjung Bin Power Sdn. Bhd. (TBP) dan Tanjung Bin Energy Sdn. Bhd. (TBE) disokong oleh Applicable Coal Price (ACP) yang melonjak.

Kumpulan merekodkan keuntungan selepas cukai dan faedah minoriti (PATMI) berjumlah RM90.3 juta pada Q3 2022 berbanding RM67.2 juta suku yang sama tahun lalu dengan pertumbuh sebanyak 34.4 peratus.

“Peningkatan tersebut dipacu oleh sumbangan yang tinggi daripada TBP ekoran lonjakan ACP tetapi telah diimbangi sebahagiannya daripada TBE ekoran penurunan kapasiti pendapatan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan kelmarin.

Selain itu, kos operasi insu­rans dan kerugian rosot nilai pada nilai pelaburan Kumpulan dalam Al-Hidd Independent Water and Power Plant (IWPP) telah menjejaskan keseluruhan pendapatan bersih.

Mengulas mengenai prestasi Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora), syarikat mencatat penurunan sebanyak 14.2 peratus dalam PATMI kepada RM24.8 juta pada suku ketiga 2022 berban­ding RM28.9 juta tempoh yang sama tahun 2021.

“Kumpulan optimis untuk mengetengahkan agenda kemampanannya bagi menyokong komitmen kerajaan dalam mengekalkan kelestarian alam sekitar.

“Polisi Tenaga Kebangsaan 2022-2040 yang diumumkan Kerajaan pada 19 September lalu secara strategiknya telah menghalakan tujuan dan perkara utama dalam sektor tenaga untuk jangka masa panjang.

“Sehubungan itu, Malakoff akan terus memfokuskan usaha peralihan kepada tenaga bersih sementara Kumpulan turut meneroka pelbagai strategi sebagai usaha untuk mengurangkan kesan karbon dengan ketara,” ­jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI