fbpx

Untung sebelum cukai FGV naik kepada RM1.49 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – FGV Holdings Berhad (FGV) mencatat  peningkatan dalam keuntungan sebelum cukai bagi tempoh sembilan bulan pertama bagi tahun kewangan 30 September 2022  (9B TH2022) kepada RM1.49 bilion berbanding RM1.02 bilion untuk tempoh yang sama tahun lepas.

Pendapatan Kumpulan melonjak sebanyak 45 peratus tahun ke tahun (Y-o-Y) kepada RM19.46 bilion berbanding RM13.39 bilion yang dicatatkan sebelum ini, manakala keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) meningkat 40 peratus kepada RM985 juta daripada RM703 juta.

Keuntungan Operasi Kumpulan FGV juga meningkat 53 peratus kepada RM1.78 untuk tempoh 9B TK2022 berbanding RM1.16 bilion yang dilaporkan dalam tempoh kewangan yang sama sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor berkata, Kumpulan  berbangga kerana kekal berada  pada landasan yang baik untuk mengakhiri tahun kewangan ini. 

“Prestasi operasi kami yang lebih baik untuk suku ketiga disokong oleh margin produk sawit yang lebih tinggi berikutan peningkatan harga Minyak Sawit Mentah (MSM) yang direalisasikan serta pencapaian daya pengeluaran dan muatan tan yang dipacu oleh sektor logistik,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Keputusan kewangan diimbangi kerugian yang direkodkan sektor gula menerusi anak syarikat FGV, MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) disebabkan kos pengeluaran yang lebih tinggi sebanyak 24 peratus.

Secara keseluruhan, untuk suku ketiga berakhir 30 September 2022 , FGV mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM6.18 bilion disebabkan harga purata MSM yang diperolehi lebih tinggi pada suku semasa, berbanding RM5.31 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Nazrul menjelaskan, meskipun merekodkan hasil yang lebih tinggi, FGV mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah iaitu sebanyak RM385 juta berbanding RM508 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, berikutan kerugian yang ditanggung dalam sektor Gula dan penurunan volum jualan MSM dan minyak sawit diproses (PPO) di Sektor Perladangan.

 Operasi Huluan FGV mencatat peningkatan hasil sebanyak RM3.71 bilion berbanding RM3.24 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu. -KOSMO! ONLINE

POPULAR