fbpx

K2

Teori ‘umran pastikan kerajaan baharu stabil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONSEP kesederhanaan dan kemakmuran merentasi pelbagai dimensi dalam mewujudkan sebuah negara yang stabil.

‘UMRAN merupakan suatu gagasan ilmu yang direka khas oleh Ibnu Khaldun bagi tujuan pembangunan sesebuah masyarakat ke arah kemakmuran melalui kaedah kesederhanaan.

Falsafah kesederhanaan tunjang kemakmuran yang diketengahkan ini serta `Umran dianggap oleh beberapa orang pengkaji sebagai ‘Teori Sains Sosial’ yang amat ideal pada zaman atau keadaan yang amat mencabar seperti sebuah masyarakat yang menghadapi perpecahan.

Dengan memberikan tumpuan kepada pencapaian kemakmuran masyarakat dan negara lebih daripada kepentingan parti-parti politik seperti yang ditegaskan oleh Ibnu Khaldun itu, sesebuah kerajaan yang baru diwujudkan itu seharusnya memberi tumpuan kepada tiga asas utama.

Pertama, kerajaan perlu memberikan penekanan kepada pembentukan masyarakat yang beragama dan berakhlak mulia.

Kedua, mereka juga perlu membangunkan sebuah masyarakat berbilang bangsa yang boleh bekerjasama, bertoleransi, saling menolong antara satu sama lain dan membuang prasangka buruk sesama mereka bagi membangunkan masyarakat dan negara.

Ketiga, kerajaan yang baharu juga perlu mempunyai pemerintahan yang adil dan saksama bagi membela kesejahteraan rakyat, tidak kira kaum, bangsa atau agama.

Ketiga-tiga syarat ini merupakan tunjang yang amat penting dalam konsep kesederhanaan untuk kemakmuran.

Semangat melampau dalam kalangan masyarakat untuk terus berkrisis harus diredakan dengan memberi tumpuan kepada kesederhanaan.

Kesederhanaan dalam hubungan masyarakat sangat bersesuaian dengan konsep ‘wasatiyyah’ serta sejajar dengan undang-undang syariat dan kehidupan Islam.

Keadaan harmoni sesebuah masyarakat dan negara makmur yang mengamalkan konsep kesederhanaan serta mengutamakan kemakmuran yang digambarkan itu telah dikemukakan oleh Ibnu

Khaldun menerusi suatu ilmu yang dipanggil ‘Ilmu ‘Umran’.

Ilmu atau teori itu direka khas oleh beliau bagi menangani kemelut perpecahan yang dialami masyarakat sejak zaman berzaman.

Tujuannya tidak lain adalah untuk membentuk satu kerajaan perpaduan demi kepentingan masyarakat dan kebangkitan semula negara.

MEMBANGUNKAN sesebuah masyarakat berbilang bangsa yang bekerjasama dan bertoleransi antara asas utama teori ‘Umran.

Konsep kesederhanaan dan kemakmuran ini merentasi berbagai dimensi dengan visi atau misi amat luas yang berupaya melihat lebih jauh ke hadapan .

Ia lebih jauh daripada sekadar visi dan misi tamadun atau civilization yang dicipta oleh orang Barat bagi membentuk suatu kesatuan masyarakat yang sejati di negara ini, sebagaimana dikehendaki oleh semua lapisan masyarakat.

Oleh itu, amatlah wajar jika konsep kesederhanaan dan kemakmuran ini dijadikan wadah pembangunan semula negara bangsa khususnya di Malaysia, sebuah negara majmuk ini.

Pendekatan kesederhanaan dalam mencapai kemakmuran ini seharusnya memberi penekanan kepada aspek pembangunan dan pembinaan peradaban.

Pembinaan peradaban itu didasarkan kepada pandangan yang memberikan tumpuan terhadap usaha mempertingkat mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan serta pembangunan fizikal.

Warisan kemajuan yang memperlihatkan kegemilangan Malaysia dalam semua bidang perlu dijadikan dorongan bagi memajukan masyarakat negara ini kini dan mendatang secara menyeluruh.

Beberapa asas yang menyokong konsep kesederhanaan untuk kemakmuran perlu dijadikan asas bagi merangsang ke arah perubahan minda masyarakat Malaysia secara menyeluruh dan sistematik, tidak bersifat sektor atau partisan,

Ini sudah semestinya memerlukan satu perubahan pandangan atau pemikiran baharu.

Pembangunan ekonomi seharusnya dilakukan secara seimbang dan komprehensif bagi memberikan satu pendekatan yang menggabungkan kepada usaha memantapkan amalan ekonomi yang berakhlak dengan kemampuan melaksanakan aktiviti ekonomi secara berkesan, sesuai dengan perkembangan ekonomi di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.

Untuk menjayakan pendekatan tersebut, pihak kerajaan dan sektor swasta perlu sama-sama berperanan secara bersepadu.

Usaha-usaha untuk memantapkan sistem keadilan negara iaitu sistem perundangan dan kehakiman serta kestabilan ekonomi di dalam negara perlu terus diberi keutamaan.

Melalui strategi pembasmian kemiskinan, mencapai guna tenaga penuh, kestabilan paras harga dan pertumbuhan ekonomi yang mapan, keadilan dan kestabilan ekonomi akan dapat dicapai.

Dalam suasana ekonomi dunia kini yang sangat mencabar dan juga tidak menentu, perancangan dan dasar ekonomi yang digubal perlulah sensitif kepada perkembangan tersebut.

Kehidupan berkualiti akan dicapai melalui kejayaan negara memenuhi keperluan kehidupan asasi seperti memelihara amalan beragama, kemampuan memajukan taraf pendidikan, menghayati kehidupan yang aman, hak memiliki harta dan jaminan kepada generasi masa hadapan yang cemerlang.

Bermula dengan pencapaian keperluan asasi, inilah kualiti kehidupan masyarakat yang tidak bersifat statik dan akan maju dalam kesemua aspek tersebut dari semasa ke semasa.

Semoga tahap pencapaian negara kita Malaysia akan semakin gemilang dan setanding dengan masyarakat yang maju di dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI