fbpx
JAY ISWAZIR

Tak jadi hero, Jay Iswazir tak kecil hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEBERADAANNYA dalam industri sebagai pelakon yang berdiri atas bakat sendiri membuatkan aktor berbakat ini akur dengan kehendak sesetengah industri.

Jika fizikal dipertaruhkan, pemilik nama pentas Jay Iswazir itu sedar dirinya jauh ketinggalan.

Apatah lagi diberi peluang untuk memikul tanggungjawab untuk memegang watak hero yang mempunyai ‘kelayakan’ tertentu.

Faham tuntutan dan kehendak budaya pop, Jay membuang jauh perasaan untuk berkecil hati atau kecewa dengan syarat menjadikan rupa paras sebagai taruhan utama.

Bagi pemilik nama lengkap Ahmad Iswazir Ismail, pengalaman dan bakat yang dimiliki menjadi bekalan yang menentukan hala tuju dirinya dalam industri, bukannya faktor rupa paras dan fizikal.

“Untuk memegang watak utama, saya faham soal tuntutan dan kehendak yang saya perlu ada. Tapi saya tidak berkecil hati atau kecewa.

“Sebab berbekalkan pengalaman dan bakat, saya tahu hala tuju yang perlu saya jalani,” ujarnya.

DALAM filem Daddyku Gangster, Jay membawakan watak sebagai Pablo yang memiliki karakter hampir sama dengan watak Joker dalam filem Batman. – MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

Sedar kekurangan

Sebagai pelakon yang berdiri atas bakat sendiri, Jay juga sedar kehendak pengarah dan produser yang memilih pelakon berdasarkan paras rupa.

“Itu hak mereka. Kehendak yang mereka mahukan itu ada kebenarannya kerana itu adalah bisnes. Penonton sekarang pun semakin bijak.

“Saya percaya, suatu hari nanti, kalau kita bekerja dengan cara yang betul, tahu kehendak pasaran semasa, saya juga akan diterima satu hari nanti,” ujarnya.

Bercerita tentang kecenderungan produser memburu aktor berwajah ‘elok’, Jay menyifatkan perkara tersebut sebagai cabaran.

Berkongis pengalamannya kepada HibGlam baru-baru, pelakon berusia 40 itu mengakui, banyak kali bakatnya dinafikan walaupun sekadar tawaran memegang watak tempelan (pelakon tambahan).

“Pengalaman ditolak itu biasa. Sudah banyak kali saya ‘direject’. Untuk jadi pelakon tambahan pun saya ditolak. Setiap kali perkara itu berlaku, saya memang marah.

“Tapi bila difikirkan semula, kalau saya marah, apa yang saya dapat? Sebelum kita salahkan takdir, salahkan Tuhan, tengok dahulu kesalahan diri sendiri,” jelasnya yang menolak kontroversi sebagai jalan untuk popular.

Sedar kekurangan yang ada, Jay mula mempersiapkan diri untuk menjadi seorang pelakon yang serius.

Personaliti, pakaian, pembawakan diri semuanya digilap. Katanya, jika peluang itu datang, persediaan rapi sudah dalam genggeman.

JAY tidak terasa hati apabila wajah tampan sering menjadi ukuran pemilihan penerbit untuk menjayakan sesebuah karya.

Kehilangan

Atas usaha dan bakat yang ada dalam dirinya, Jay semakin dilirik produser yang menutup sebelah mata atas kekurangan yang ada pada dirinya.

Terbaharu, pelakon asal Ipoh, Perak itu muncul dengan sebuah filem baharu bergenre drama komedi berjudul Daddyku Gangster dengan menjayakan watak antagonis sebagai Pablo.

Namun, sebelum naskah Daddyku Gangster dapat direalisasikan, Jay berdepan dengan situasi tidak terduga apabila bapa tersayang, Ismail Abdul Hamid dijemput Illahi.

ENGGAN mengulangi kesilapan sama seperti ketika bapanya masih hidup, kini setiap hari Jay akan membuat panggilan video dengan ibunya di kampung kerana tidak mahu terlepas momen bersama selagi ada hayat dikandung badan.

Tamparan

Kongsi Jay, sehari sebelum berangkat ke Kelantan untuk menjalani penggambaran filem Daddyku Gangster, dia menerima perkhabaran bapanya meninggal dunia pada pukul 3 pagi.

“Ayah memang ada sakit jantung dan semakin uzur. Saya sudah mahu berangkat ke Kelantan dari Kuala Lumpur, namun terpaksa pulang ke Ipoh.

“Cabarannya, dalam keadaan sayu, saya terfikir tentang keadaan rambut yang telah diwarnakan menjadi putih. Takut pula mengundang persepsi buruk orang lain.

“Alhamdulillah saya sempat pulang dan menatap wajah ayah saya buat kali terakhir sebelum dikebumikan,” katanya.

Kehilangan tokoh lelaki paling penting dalam hidupnya itu pada usia 75 tahun itu memberi tamparan besar buat Jay.

Adakala dia dihimpit sesalan kerana jarang berhubung dengan arwah bapanya dek kesibukan kerja.

“Kehilangan ayah memberikan saya kesedaran.

“Sejak arwah tiada, saya semakin kerap menelefon ibu di kampung sebab saya tidak mahu terlepas momen bersamanya.

“Setiap hari saya akan buat panggilan video dengan ibu kerana saya tidak berbuat begitu ketika ayah masih ada,” tutupnya.

DENGAN wajah berparut dan kelihatan bengis, Jay kerap menjadi pilihan untuk menjayakan watak psiko serta antagonis.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN