fbpx

Mahkamah: Bapa didakwa bunuh anak tiri perempuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Stephen Raj dibawa ketika dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret Kajang hari ini.

KAJANG – Seorang bapa didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak perempuan tirinya di sebuah rumah minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh C. Stephen Raj, 43, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga penganggur didakwa telah melakukan perbuatan dengan niat hendak menyebabkan kematian terhadap anak perempuan tirinya yang berusia 11 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Sri Ramal di sini pukul 11.33 malam pada 21 November lalu (2022).

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim manakala tertuduh diwakili peguam M.Manoharan .

Tiada ikat jamin dibenarkan dan mahkamah kemudian menetapkan 10 Januari untuk sebutan semula kes.

Kosmo! Online 23 November lalu melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati apabila ususnya pecah selain kepala dihentak dipercayai didera bapa tiri dalam kejadian di kediaman di Taman Sri Ramal di sini.

Kejadian disedari selepas pihak Hospital Serdang menerima pesakit kanak-kanak perempuan warga tempatan kira-kira pukul 12.39 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, mangsa dibawa menggunakan ambulans dari rumahnya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Hasil pemeriksaan mendapati mangsa disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

Menurut Mohd. Zaid hasil bedah siasat yang dijalankan doktor pakar mendapati punca kematian mangsa dipercayai daripada kesan hentakan benda tumpul pada bahagian kepala dan abdomen (perut) yang menyebabkan ususnya pecah.

Bertindak atas maklumat, polis telah menahan bapa tiri mangsa ketika berada di pekarangan Hospital Serdang.

Siasatan lanjut mendapati suspek mengaku ada memukul mangsa sebelum ini menggunakan tangan, kaki dan baldi di dalam tandas akibat marah kerana mendakwa mangsa sering membuat masalah di rumah semasa ketiadaan ibunya.

Beliau berkata, terdapat juga kesan-kesan cedera lebam di bahagian punggung, buah dada dan lengan mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI