fbpx

Wanita Vietnam didakwa bunuh kekasih warga tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang wanita warga Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini.

SEREMBAN – Seorang wanita warga Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki tempatan yang merupakan kekasihnya di sebuah apartment di Taman Bukit Delima di sini, minggu lalu.

Tertuduh, La Anh Thu, 33, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang juga tidak dibenarkan diikat jamin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyebabkan kematian ke atas, Lim Swee Shyong, 50.

Kesalahan itu dilakukan di Blok A Casa Prima, Jalan Bukit Delima 2, Taman Bukit Delima lebih kurang pukul 9 hingga 9.45 malam pada 21 November lalu.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan hendaklah dihukum mati.

Terdahulu, tertuduh yang memakai baju kameja warna kuning kelihatan tenang ketika tiba di mahkamah pada pukul 9 pagi.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya  Nik Nur’Aqilah Syarfa Nik Zaidi manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Syafiq Steward Abdullah, Mohd. Khairullizan Kamisan dan Datuk Haniff Hasan.

Pihak pendakwaan memohon satu tarikh untuk mendapatkan laporan forensik, kimia dan perubatan.

Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula 26 Januari 2022 untuk serahan dokumen.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan, seorang lelaki ditemui mati dengan kesan luka pada rusuk kanan dipercayai ditikam di sebuah rumah apartment di Taman Bukit Delima di sini, 21 November lalu selepas berlaku pergaduhan dengan seorang wanita.

Mayat lelaki berusia 50 tahun itu ditemui kira-kira pukul 9.30 malam dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumah.

Sebaik tiba di lokasi terdapat seorang wanita di dalam rumah dalam keadaan panik dan kesedihan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI