fbpx

Aplikasi Raiz catat pelaburan RM40 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aidi Izham (tiga dari kiri) bersama kakitangannya menunjukkan aplikasi Riaz di Port Dickson baru-baru ini.

PORT DICKSON – Aplikasi pelaburan mudah alih mikro pertama Malaysia, Raiz telah mencatat jumlah pelaburan sebanyak RM40 juta dengan melibatkan sejumlah 600,000 pendaftaran daripada orang ramai.

Ketua Eksekutif Raiz Malaysia Sdn. Bhd. (Raiz Malaysia), Aidi Izham Mohd. Khalil berkata, sejak aplikasi tersebut mula dilancarkan pada bulan Julai 2020, kira-kira 110,000 daripada 600,000 keseluruhan pendaftaran itu terdiri daripada pengguna aktif.

Aplikasi Raiz yang dilancarkan oleh Permodalan Nasional Bhd. (PNB) itu telah memberi peluang kepada orang ramai untuk me­labur serendah lima sen daripada baki akhir perbelanjaan harian secara maya dan kemudiannya duit tersebut akan dilaburkan dalam dana amanah yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Kemudahan tersebut telah dibangunkan oleh Raiz Malaysia iaitu syarikat usaha sama anak syarikat PNB, Jewel Digital Ventures Sdn. Bhd. dan Raiz Invest Australia Ltd. (Raiz Invest), sebuah anak syarikat Raiz Invest Ltd. yang disenaraikan di Bursa Saham Australia (ASX).

Menurut beliau, inisiatif me­labur menggunakan duit baki daripada perbelanjaan pengguna yang diperkenalkannya itu telah memberi peluang kepada semua kelompok masyarakat termasuk generasi baharu berjinak-jinak dengan pelaburan tanpa ada halangan.

“Apa yang menarik mengenai idea ini adalah ia tidak akan me­ngubah tabiat berbelanja seseorang individu sebaliknya membantu pengguna melabur tanpa sedar.

“Cara ini juga agak unik kerana ia dapat membantu pengguna memanfaatkan sepenuhnya setiap sen yang dibelanjakan dengan duit baki itu kemudian akan dibundarkan sebelum di­simpan dan dilabur dalam akaun Raiz.

“Pemegang unit boleh memulakan pelaburan dengan memuat turun aplikasi mudah alih Raiz secara percuma dan memautkan kepada kad debit atau kredit bank mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di sini baru-baru ini.

Aidi Izham menerangkan, selain fungsi pembundaran baki pembelian harian, pengguna juga boleh membuat pelaburan sekali gus atau berkala secara harian, mingguan atau bulanan.

Tambah beliau, dari segi demografi setelah dua tahun diperkenalkan di Malaysia, syarikat mendapati pengguna Raiz berumur antara 18 hingga 43 tahun yang mewakili sebanyak 88 peratus daripada pelabur.

Selain itu, Raiz telah melancarkan Raiz Rewards berbentuk ganjaran tunai kepada pengguna yang membuat pembelian de­ngan rakan jenama Shopee dan Lazada.

Aidi Izham menerangkan, orang ramai yang berbelanja secara online di Shopee dan Lazada, maka penggunanya akan menerima ganjaran tunai yang akan dilaburkan semula ke dalam akaun Raiz mereka.

“Inisiatif yang dilancarkan sempena MSAM 2022 itu secara tidak langsung, menggalakkan pengguna berbelanja dalam masa sama boleh membuat simpanan dan pelaburan secara automatik.

“Selain itu, pengguna yang membayar zakat secara dalam talian juga akan menerima ganjaran tunai ini,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI