fbpx

TFC bakal ketahui nasib sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN penyokong TFC mencetuskan insiden kekacauan selepas berakhir aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia apabila pasukan itu gagal mara ke pentas final.

JAWATANKUASA Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka membuat keputusan dalam tempoh terdekat berhubung kejadian bas pasukan Selangor yang diserang penyokong Terengganu sejurus tamat aksi separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Isnin lalu.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, pihak­nya sudah pun menerima laporan penuh daripada pihak komisioner perlawanan dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan kini menyerahkan tugas itu kepada jawatankuasa tatatertib.

“Kita pun sudah terima laporan daripada MFL dan komisioner perlawanan. Laporan itu sedang dinilai oleh unit undang-undang sebelum dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM.

“Kebiasaannya pasukan akan kena, cuma buat masa sekarang kita tengok dulu penilaian yang akan dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM. Mereka dijangka akan bersidang dalam masa terdekat ini,” katanya.

Menurut kenyataan Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa sebelum ini, lima penyokong Terengganu yang disyaki terbabit dengan insiden ber­kenaan sudah pun ditangkap dan direman selama empat hari.

Kesemua mereka yang ditangkap berusia 24 hingga 37 tahun dan mereka ditahan menerusi Team Cantas Jabatan Siasatan Jenayah yang dilakukan secara berasingan di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Musim lalu, Kuala Lumpur City pernah dikenakan hukuman bermain tanpa penyokong selepas tindakan luar batas penyokongnya yang menceroboh padang bagi meraikan kemena­ngan di suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

KL City didapati melanggar peraturan MFL berkaitan peraturan prosedur operasi standard (SOP) penonton perlawanan Piala Malaysia dan manual Liga Malaysia 2021.

“Saya tidak boleh beritahu apa hukumannya sebab itu di bawah jawatankuasa tatatertib. Saya tidak boleh menghukum, kita perlu tunggu penilaian daripada jawatankuasa,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI