fbpx

Pekerja pos Britain mogok, jualan Black Friday terganggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kenderaan pos milik Royal Mail diparkir di sebuah pusat penghantaran di Kent pada 24 November lalu ketika pekerja melakukan mogok. - Getty Images

LONDON – Kira-kira 115,000 kakitangan perkhidmatan pos Britain, Royal Mail melancarkan mogok selama dua hari bermula Khamis lalu, sekali gus mengganggu jualan dan penghantaran barangan pada acara jualan tahunan besar-besaran yang dikenali sebagai Black Friday, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin. 

Perniagaan kecil khususnya dilaporkan mengalami kerugian besar akibat mogok yang dilakukan pekerja pos kerana mereka bergantung kepada perkhidmatan mel yang cekap untuk kebanyakan perniagaan, demikian menurut kenyataan yang disiarkan ke laman pencari kerja, LinkedIn.

Pekerja-pekerja pos turut merancang untuk melakukan mogok seterusnya pada 30 November dan 1 Disember ini berikutan pemberhentian ramai kakitangan perkhidmatan tersebut pada Ogos dan September lalu.

“Pelanggan perlu menjangkakan kelewatan bagi barangan yang dipos atau dibeli sebelum, ketika atau selepas mogok berlangsung,” kata Royal Mail dalam satu kenyataan.

Mogok pekerja berlaku di seluruh Britain tahun ini, ketika kakitangan bergelut dengan kenaikan kos sara hidup serta krisis ekonomi. 

Gaji yang diterima tidak selari dengan kadar inflasi yang kini mencatatkan rekod tertinggi dalam tempoh 41 tahun di negara itu sekali gus mencetuskan perbalahan antara pekerja dengan majikan.

Kira-kira 235,000 pekerja melancarkan mogok di seluruh Britain minggu ini yang turut melibatkan guru-guru sekolah, kakitangan universiti dan pekerja perkhidmatan pos bagi menuntut kenaikan gaji serta situasi kerja yang lebih baik.

Selain itu, lebih 70,000 pekerja universiti turut melancarkan mogok disebabkan gaji rendah, syarat bekerja dan pencen pada Khamis dan Jumaat lalu di 150 universiti di seluruh Britain.

Mogok itu adalah yang terbesar dalam sejarah pendidikan tinggi negara itu yang menjejaskan lebih 2.5 juta pelajar, demikian menurut Kesatuan Universiti dan Kolej yang menganjurkan mogok itu. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI