fbpx

PM10 – Bincang dengan KSN, KSU sebelum kecilkan Jemaah Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan

PETALING JAYA- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbincang dahulu sebelum mengecilkan jemaah menteri.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya mengambil maklum beberapa manifesto yang dibuat oleh pimpinan politik semasa tempoh berkempen lalu antaranya ialah untuk mengecilkan saiz kabinet atau jumlah menteri sekiranya diberi mandat.

“Cuepacs menghargai segala komitmen yang diberikan terutama apabila ia melibatkan kesan langsung kepada jentera pentadbiran kerajaan yang ditunjangi oleh penjawat awam.

“Walau apa jua komitmen dan janji tersebut, Cuepacs berharap kepimpinan Perdana Menteri mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) serta semua Ketua Setiausaha (KSU) di kementerian-kementerian yang ada ketika ini.

“Perbincangan bersama dengan pemimpin tertinggi perkhidmatan awam ini perlu bagi mengelakkan keputusan yang diambil nanti memberi kesan yang tidak baik kepada jentera pentadbiran kerajaan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, hal ini sudah pasti memberi kesan kepada sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, yang akhirnya akan mencemarkan nama baik penjawat awam selaku kumpulan pelaksana.

Adnan juga berkata Cuepacs tidak mahu keputusan terburu-buru akan mengakibatkan dasar-dasar semasa yang sedang dilaksanakan penjawat awam terganggu.

“Perkara ini bukan sahaja merugikan rakyat secara langsung malah turut memberi kesan kepada sumber kewangan negara yang mungkin sudah banyak dibelanjakan sebelum ini.

“Apabila dasar atau program pembangunan tersebut diaudit, sudah tentu akan menerima teguran daripada Jabatan Audit Negara kerana ia tergantung atau tidak dapat diteruskan kerana perubahan kerajaan,” katanya.

Berikutan itu, ujarnya, perbincangan dengan KSN dan semua KSU penting untuk diadakan bagi memastikan segala dasar yang baik tidak dibuang begitu sahaja hanya disebabkan saiz kabinet dikurangkan.

Dalam pada itu, Adnan Mat turut menzahirkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada Anwar Ibrahim atas pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10.

Beliau berharap kepimpinan Anwar Ibrahim mampu membawa negara kembali stabil dan bergerak maju ke hadapan bagi menghadapi persekitaran ekonomi yang semakin mencabar ketika ini.

“Cuepacs berharap Perdana Menteri dapat mengekalkan keharmonian dalam perkhidmatan awam supaya sistem penyampaian kepada rakyat boleh diperkasakan lagi.

“Cuepacs yakin kestabilan dalam pentadbiran kerajaan mampu meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan ekonomi agar negara mampu mendepani cabaran yang mendatang,” katanya.

Tambahnya lagi, penjawat awam akan terus berkhidmat dengan penuh profesional bagi memastikan dasar dan polisi yang dirancang oleh kerajaan dapat dinikmati rakyat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI