MENJAYAKAN karakter bernama Wangi dalam siri originals terkini terbitan Viu, itu menjadi satu lembaran baharu dalam kerjaya seni aktres Siti Saleha dalam dunia lakonan.
Masakan tidak, Saleha atau mesra disapa dengan panggilan Sally memaklumkan, demi menghayati watak Wangi yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan, dia turun menyantuni golongan tersebut di sekitar Brickfields, Kuala Lumpur.
Aktres berusia 32 tahun menganggap pendekatan tersebut sebagai inisiatif sendiri demi mencernakan hasil terbaik watak Wangi yang juga memiliki kebolehan mengurut atau melakukan rawatan refleksologi.
“Sampai sekarang, kalau saya nak pergi ‘massage’, saya akan turun ke Brickfields tengok orang buta buat kerja. Beberapa minggu lepas pun saya ada pergi sana.
“Itu sebahagian daripada ‘homework’ saya untuk karakter ini. Dapat melihat mereka buat kerja dan watak saya pun memang memerlukan saya untuk mahir mengurut, itulah inisiatif saya sendiri untuk membawakan peranan ini dengan cemerlang,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.

Turun Brickfields
Sally atau nama lengkapnya, Siti Saleha Mohd. Baharum memaklumkan, pengetahuannya tentang golongan cacat penglihatan tidak begitu banyak, namun dengan karakter Wangi, semua itu berubah.
“Sebelum ini saya tak tahu pun ada persatuan orang buta dan benda-benda sebegitu terutama di Brickfields. Kadang-kadang, saya makan di kawasan sekitar Brickfields (kawasan orang buta).
“Saya tiada kawan orang kurang upaya sebegitu. Sungguhpun begitu, saya tidaklah ‘kacau’ mereka buat kerja atau cari rezeki. Pengalaman itu, membuatkan kita bersyukur dengan apa yang kita ada dalam kehidupan dan hormat mereka lebih mendalam.
“Saya perhatikan mereka dan bagaimana kehidupan mereka.
“Bertongkat dan sebagainya. Untuk tengok selebihnya bagaimana karakter Wangi berkembang, semua itu boleh ditonton dalam siri Hilang,” ujarnya seraya mendedahkan penggambaran siri berkenaan mengambil masa dua bulan.
Mengakui kian selesa berlakon projek over-the-top (OTT) atau penstriman, Sally bagaimanapun memberitahu, sama ada projek seni bernuansa itu mahupun konvensional (televisyen), kedua-duanya ada kelebihan tersendiri.
“Kalau OTT, kebebasan memang sentiasa ada. Nak mencarut atau apa pun, boleh buat tapi watak Wangi, ‘sweet innocent’ (manis dan macam tak bersalah begitu).

Kebebasan OTT
“Kalau drama televisyen, pengalamannya berbeza. Maknanya, kita berlakon macam nak sediakan apa yang penonton mahukan. Kalau OTT, kepuasannya lebih sedikit.
“Sampai sekarang, saya masih dapat tawaran drama televisyen tapi kadang-kadang rasa macam ‘saya dah pernah buat watak itu’. Macam terlalu berulang-ulang. Hilang lain macam dan saya terus setuju apabila ditawarkan watak Wangi.
“Kadang-kadang , saya ‘fed up’ berlakon drama televisyen sebab banyak sangat peraturan (benda yang kita tak boleh buat). Itu satu fakta yang saya tak boleh nafikan,” jelasnya.
Sally bagaimanapun percaya, dia perlu menyeimbangkan antara dua ‘dunia’ demi memastikan relevansi namanya dalam kalangan peminat.
“Saya memang seronok buat OTT, namun pada masa sama, kena ‘jaga’ juga projek drama televisyen.
“Saya faham maksud itu dari segi pasaran arus perdana apa semua.
“Kadang-kadang memang penat (berlakon drama televisyen sebab penggambarannya panjang sampai lima enam bulan), saya akur dengan realiti dan tuntutan kerjaya ini.
“Kalau tanya saya, memang dah muak berlakon watak atau karakter wanita kena pukul, ditindas dan sebagainya.
“Saya mahukan kelainan dalam kerjaya lakonan,” ulasnya seraya memaksudkan segala butir perkataan yang dilontarkan.

Kekasih kacukan, seksi
Menelusuri sedikit perihal tentang peribadi, Sally ketika ditemui usai tayangan perdana siri Hilang di ibu negara, tidak menafikan kini sedang dalam proses mengenali hati budi seorang lelaki.
Buat masa ini, pelakon yang terkenal menerusi naskhah 7 Hari Mencintaimu itu juga belum bersedia untuk memperkenalkan teman lelakinya itu kepada umum, namun akan berbuat demikian apabila benar-benar sudah bersedia dalam masa terdekat.
“Nanti saya kongsi dalam Instagram hanya apabila saya benar-benar sudah bersedia.
“Sungguhpun begitu, kawan-kawan yang rapat dengan saya tahu tentang hal ini walaupun saya tak kongsi gambar apa.
“Bila-bila masa sahaja nanti, saya akan tunjuk muka dia (teman lelaki),” katanya ringkas.
Mengulas lanjut, Sally memberitahu, lelaki istimewa di hatinya itu seorang yang sangat baik.

“Tiada apa yang serius sangat pun. Maksud saya, saya sedia berkawan. He’s a nice guy (dia seorang lelaki yang baik),” ujarnya.
Menjawab tentang kesahihan khabar angin berterbangan lelaki itu berdarah kacukan seperti dirinya, jawab Sally bersahaja: “Ya Tuhan, saya macam dah cakap habis semua dah (ketawa). Dia mix blood (berdarah kacukan). Sama macam saya. Orang putih. Kacukan juga.”
Sebelum menggulung perbualan, Sally ditebak tentang penampilan dirinya semakin ‘daring’ dan seksi terutama selepas bercerai.
Akuinya, dia selesa berpenampilan sedemikian sejak dahulu, namun ada batasan yang tetap dijaga.
“Orang tahu saya memang seksi tapi saya tahu batasannya. Tiadalah saya all-out tunjuk itu ini tapi saya selesa dengan kulit saya.
“Ini adalah saya dan kalau ibu bapa saya sendiri tak bising, pandailah saya jaga diri. Saya pun dah 32 tahun. Kalau orang tak suka, tak mengapa tapi inilah diri saya,” tutupnya.















