fbpx
AKSI para peserta termasuk wanita semasa menyertai konvoi.

Minat motosikal klasik tanpa sempadan gender

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK dinafikan fasa peralihan endemik sememangnya memberi kelegaan kepada banyak pihak setelah hampir tiga tahun rakyat negara ini ‘duduk rumah’ akibat pandemik Covid-19.

Bagi peminat aktiviti permotoran seperti berkonvoi, situasi kini adalah peluang yang dinanti-nantikan kerana sudah lama tidak melakukan aktiviti ‘memanaskan enjin’ bagi tujuan mengembara di tempat orang bersama ahli kumpulan yang lain.

Antara kelab yang mengambil peluang ini ialah Kelab Marshall Racer yang menganjurkan aktiviti konvoi One Culture pada Oktober lalu dengan kebanyakannya melibatkan motosikal klasik modifikasi atau custom made.

Antara modifikasi yang dibuat ialah menambah aksesori seperti membuat shield (penghadang), tukar rekaan tempat duduk, cat, tambah kotak simpanan di belakang tempat duduk untuk simpan helmet dan menukar cermin sisi yang menjadikan motosikal-motosikal itu kelihatan unik.

Kelab yang berdaftar di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang itu lebih menekankan aspek gaya hidup sihat dan positif dalam kalangan ahli kelabnya.

Setiausaha Kelab Marshall Racer, Noor Shafarina Mhd Hidzir, 43, berkata, penganjuran aktiviti berkonvoi One Culture adalah julung kali diadakan di bawah kelab tersebut setelah kerajaan memberi kebenaran untuk melakukan aktiviti permotoran.

“Penganjuran aktiviti konvoi One Culture adalah yang pertama kali diadakan bagi menghimpunkan peminat motosikal klasik di wilayah utara seperti Pulau Pinang termasuk Perak dan juga Kedah, di samping ingin mengeratkan ukhuwah sesama ahli tanpa mengira latar belakang kaum mahupun agama,” katanya kepada K2.

Jelasnya, menerusi One Culture, seramai 80 penunggang dari Pulau Pinang, Kedah dan Perak memulakan aktiviti konvoi sekitar Pulau Pinang yang bermula di pekarangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Padang Kota.

“Kita mulakan konvoi di Padang Kota seterusnya ke bahagian daerah Barat Daya seperti Anjung Indah dekat Balik Pulau, kemudian ke BoraBora dekat Tanjong Bungah dan ke Restoran Motowarung dekat Bandar Perda (bahagian Seberang Perai) di mana ia adalah lokasi terakhir konvoi ini.

RAGAM para peserta bersama motosikal klasik modifikasi masing-masing.

“Secara amnya konvoi yang kita lakukan adalah dalam masa sehari iaitu bermula pukul 3 petang, sejauh 93 kilometer melibatkan penunggang motosikal klasik seperti vespa, ‘chopper’, ‘bobber’, Harley Davidson termasuk motosikal ‘cafe racer’,” kata ibu kepada dua orang cahaya mata itu.

Sebagai wanita, Noor Shafarina berkata, penglibatan kaum Hawa dalam konvoi itu amat menggalakkan.

“Menerusi aktiviti konvoi ini juga kami ingin menggalakkan kaum wanita di luar sana untuk menjadi sebahagian keluarga pencinta motosikal klasik ini kerana merasakan kaum wanita turut mempunyai minatnya yang tersendiri.

“Dengan adanya aktiviti seumpama ini juga kita nak beri gambaran kepada masyarakat bahawa apa yang kita lakukan ini bukan sekadar hobi, sebaliknya platform untuk ahli bertukar-tukar maklumat mahupun idea mengenai dunia permotoran lebih-lebih lagi motosikal klasik tanpa mengira gender, kaum dan juga agama.

“Ini boleh dikatakan sebagai identiti kami,” katanya yang memiliki sebuah motosikal Royal Enfield Continental GT650.

Noor Shafarina berkata, kos yang diperlukan untuk mengubah suai motosikal Royal Enfield Continental GT650 miliknya itu hanya menelan belanja sehingga RM4,000.

“Modifikasi yang saya lakukan meliputi cat tangki, tukar tempat duduk, buat sedikit pemotongan paip, tukar lampu dan pemegang (handle bar).

“Tak banyak sangat modifikasi sebab saya mahu kekalkan ciri asli motosikal itu sendiri,” kata Pengurus Bahagian Perniagaan di sebuah syarikat elektronik dekat Batu Kawan itu.

Dalam pada itu, wakil penaja One Culture, syarikat Hot Bike Penang, Shawn Lee, 26, berkata, penganjuran aktiviti kali ini disifatkan begitu istimewa kerana melibatkan kerjasama bersama komuniti motosikal klasik.

“Selalunya kami terlibat dengan penganjuran motosikal berkuasa tinggi. Aura yang ada pada komuniti motosikal klasik juga lain daripada yang lain.

“Malah, kami juga tidak keberatan untuk menjalinkan kerjasama bersama kelab-kelab motosikal klasik selepas ini,” katanya yang menyertai konvoi itu dengan menaiki motosikal vespa klasik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN