MENGAMBIL posisi sebagai pengacara sebuah program hiburan popular, MeleTOP bukan satu tugasan yang mudah buat personaliti televisyen, Hawa Rizwana.
Apatah lagi kerusi tersebut sebelum ini dipegang selebriti terkenal Neelofa selama lapan tahun. Catatan tersebut menambahkan lagi tekanan khalayak terhadap wanita berusia 27 tahun itu.
Sedar ‘cakap-cakap’ sekeliling yang tidak berhenti berbicara dan mempertikaikan kemampuannya, Hawa hanya mahu terus menutup telinga agar emosinya tidak larut dalam kritikan ramai.
Mengimbau semula perjalanan kerjayanya, si genit itu pernah bergiat aktif dalam dunia kewartawanan, termasuk sebagai pengacara dan penyampai berita di stesen televisyen, TV3.
Nekad bertukar angin dan mencabar kemampuan diri, hatinya teruja ketika menerima lamaran untuk mengemudi MeleTOP bersama Nabil Ahmad.
Dalam keterujaannya bergelar pengacara MeleTOP, ramai yang memandangkan Hawa sebagai bayangan Neelofa malah ada pula memberikan jolokan Neelofa 2.0 kepada dirinya.

Bukan Neelofa 2.0
“Sejujurnya saya tidak mahu pun terlalu kerap disamakan dengan Neelofa.
“Pada awal kemunculan saya sebagai wartawan, tular pula foto yang dikatakan persis Neelofa. Realiti sebenar ialah wajah saya sangat mirip dengan ibu,” katanya.
Mahu berdiri dengan bakat sendiri, pemilik nama penuh Hawa Rizwana Ahmad Redzuan bertegas tidak mahu cara pengacaraannya terikut dengan mana-mana figura lain.
“Saya sedar bukan mudah untuk lari daripada bayangan pengacara terdahulu tetapi saya yakin dengan kemampuan sendiri.
“Beri peluang dan masa untuk buktikan yang saya memang layak untuk berada di kerusi ini. Insya-Allah saya tidak akan sia-siakan kepercayaan produksi,” ujarnya.

Kekok dan masih cuba membiasakan diri beradaptasi dengan program hiburan, itu yang kini diusahakan Hawa sejurus menerima tawaran MeleTOP.
Semua itu penting sementelah Hawa lebih terdedah terhadap bidang penyampaian berita dan konsep pengacaraan formal.
“Harapnya wujud keserasian antara saya dan Nabil yang lebih dilihat seperti hubungan adik dengan abang.
“Jika orang kata saya tidak ‘fun’, sebenarnya inilah diri saya.
“Tak mahulah kelihatan keterujaan itu seperti dibuat-buat, biarlah saya jadi diri sendiri,” katanya lagi.

Ketegasan bapa
Dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat menitikberatkan disiplin dan menjaga kehormatan diri, Hawa mengakui bukan mudah untuk mendapatkan keizinan daripada bapanya.
Dalam debaran mendapatkan restu, dia bersyukur kerana bapanya memberi lampu hijau untuk menjadi menyertai keluarga MeleTOP.
“Tak sangka ayah benarkan saya mengendalikan MeleTOP, tambahan pula itu program hiburan.
“Sangat berdebar ketika ingin memaklumkan kepadanya tetapi hati kembali berbunga apabila dia kata okey. Alhamdulillah langkah baharu ini mendapat restu,” tutup Hawa.















