fbpx

PRU15: Kunci masa depan di tangan pengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KEMPEN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah hampir ke penghujung. Meskipun bahang kempen semakin panas, namun suasana kelihatan tidaklah begitu membara berbanding pilihan raya lepas.

Pada Sabtu, 19 November ini kira-kira 21 juta warganegara yang berusia 18 tahun ke atas berhak menunaikan tanggungjawab mereka memilih sebuah kerajaan untuk memerintah negara.

Nampak mudah dan enteng. Masuk pusat mengundi, dapatkan kertas undi dan kemudian pangkah petak calon yang menjadi pilihan.

Selepas itu boleh balik, teruskan urusan harian dan tunggu pengumuman keputusan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Ya, kepada orang tertentu mereka tidak kisah siapa yang menjadi calon atau wakil rakyat di kawasan mereka. Bagi golongan ini, siapa pun wakil rakyat, nasib dan kehidupan mereka sama sahaja. Esok matahari akan tetap naik di ufuk timur dan tenggelam di ufuk barat.

Namun hakikatnya, satu undi yang diberikan kepada seseorang calon pada Sabtu ini akan menentukan masa depan rakyat negara ini, bukan untuk lima tahun tetapi untuk suatu masa yang sukar diramalkan.

Undi bukan suatu tugas yang ringan sekadar memegang pen dan menggores di atas kertas. Undi bukan juga terjemahan selepas mendengar gebang ahli politik berjanji itu ini, begitu begini. Semua orang salah, mereka sahaja yang suci murni.

Sangat penting bagi seseorang pengundi itu memahami bahawa hak mereka mengundi boleh memberi kesan kepada banyak orang termasuk kepada diri, anak, cucu dan generasi berlapis yang akan datang.

Kita telah melalui zaman sukar apabila dilanda wabak Covid-19 menyebabkan ramai yang terkesan. Ada anak-anak jadi yatim piatu sekelip mata. Ada hilang pekerjaan dan pendapatan tanpa disangka-sangka. Ada yang kaya jadi papa kedana hingga terpaksa bergolok-bergadai begitu sahaja. Jangan lupa, suatu ketika ramai yang terpaksa mengangkat bendera putih.

Wabak menyebabkan ramai antara kita seolah-olah masa telah berundur ke belakang. Keadaan menjadi semakin parah apabila suasana politik negara tidak stabil, ahli politik pula melompat ke sana sini mencari kolam ‘emas’, sekali gus membantutkan perkembangan ekonomi semasa.

Akhirnya yang terpaksa memikul beban dan tekanan adalah rakyat jelata. Sebab itu, proses memilih dan memberi mandat bagi membentuk sebuah kerajaan bukan suatu yang boleh dipandang ringan oleh sesiapa sahaja.

Undilah parti yang boleh memacu masa depan dengan baik. Pilihlah calon yang boleh bekerja, mempunyai wawasan membina negara dan mampu merealisasikan cabaran ekonomi dan sosial.

Elak daripada terpengaruh dengan calon yang cuma petah berkata-kata, bijak berseloka dengan pelbagai teori dan formula seolah-olah gajah pun boleh terbang di udara.

Selamat menunaikan hak dan tanggungjawab. Kunci masa depan di tangan anda semua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI