PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Universiti Sains Malaysia (USM) memeterai kerjasama strategik bagi meneroka peluang dalam meningkatkan kesedaran berhubung kepentingan penabungan melalui Simpan SSPN dan bayaran balik pinjaman PTPTN untuk menjamin masa depan pendidikan anak-anak.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, kerjasama ini dimeterai melalui satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang dijalankan sebagai salah satu usaha proaktif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terutama generasi muda yang bakal menjadi ibu bapa mengenai penabungan.
“Melalui kerjasama strategik ini, kedua-dua pihak akan berganding bahu dalam membangun, menyokong dan memperkasa usaha-usaha penyelidikan dalam mengenal pasti kaedah untuk meningkatkan bayaran balik pinjaman pendidikan dan simpanan pendidikan bagi jaminan masa depan pendidikan anak-anak.
“Kerjasama ini juga sangat signifikan untuk mendidik para pelajar tentang kepentingan membuat bayaran balik pinjaman bagi kelestarian pinjaman kepada generasi yang akan datang,” kata beliau.
Menjalankan Fungsi Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Narimah berkata, USM mengalu-alukan kerjasama strategik itu dan percaya USM dan PTPTN mempunyai kepakaran dan pengalaman masing-masing.
“Kekuatan kepakaran dalam bidang pengurusan perniagaan serta kewangan yang dimiliki universiti itu serta pengalaman yang luas dalam pengurusan pinjaman pelajar yang dimiliki PTPTN, kedua-dua pihak mampu menjalankan penyelidikan bersama yang dapat mencetuskan idea baharu, khususnya dalam bidang literasi dan perancangan kewangan.
Tambah beliau, kerjasama ini diharap dapat membangunkan modal insan dalam kalangan pelajar USM melalui pelbagai inisiatif program kemahiran yang berkualiti supaya siswazah dapat memenuhi keperluan industri apabila tamat pengajian nanti.
“PTPTN dan USM bersetuju untuk bekerjasama merangkumi pelbagai skop antaranya meningkatkan kemahiran dan pengetahuan graduan yang berkualiti agar berupaya memenuhi keperluan industri serta pembudayaan penabungan Simpan SSPN bagi seluruh warga USM melalui pelbagai program.
“Selain itu kerjasama tersebut juga dibuat menerusi penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan kefahaman pelajar terhadap bayaran balik pinjaman dan kepentingan penabungan dan penyampaian informasi serta promosi melalui medium hebahan yang bersesuaian,” katanya.
Beliau menyatakan bahawa dengan kemudahan penyelidikan dan pembelajaran, pengalaman serta kumpulan pakar pelbagai bidang dalam kalangan kakitangannya, USM telah melaksanakan banyak kerjasama dengan pelbagai pihak dalam usahanya untuk meningkatkan pengisian penyelidikan dan mengukuhkan jaringan industrinya. -KOSMO! ONLINE.