fbpx

Sentuh sensitiviti perkauman, Zul Huzaimy mohon maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZUL HUZAIMY

PETALING JAYA – Aktor yang juga pengarah terkenal, Zul Huzaimy membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung kenyataan berbaur perkauman menerusi sebuah video yang tular sejak semalam.

Menurut Zul, dia tidak berniat untuk mencetuskan isu perkauman dan kenyataan seolah-olah hendak menyembelih golongan bukan Islam dalam video tersebut telah disunting sehingga membuatkan ramai salah anggap dalam konteks yang ingin disampaikan.

“Saya mohon maaf sekiranya ramai salah anggap dengan kenyataan saya yang telah disunting oleh seseorang dalam sebuah video sehingga dilabel ekstrem.

“Kandungan video itu salah, anda harus dengar ucapan penuh saya iaitu kita perlu menjaga golongan bukan Muslim kerana mereka menyokong pemerintahan negara Islam dan begitu baik,” katanya.

Menjelaskan lanjut, perkara itu disuarakan kerana berpendapat golongan sebegitu perlu dijaga dengan baik oleh pemimpin beragama Islam.

“Wajib bagi seorang pemimpin beragama Islam menjaga mereka. Itu yang pertama. Yang keduanya adalah yang saya sebut sebagai kafir harbi iaitu musuh Islam yang nyata. 

“Maksud saya di sini ialah mereka merupakan golongan bukan Muslim yang benci Islam, suka perkauman, buat hal sehingga tidak benarkan azan di sesetengah tempat kerana terlalu kuat,” katanya.

Tambahnya, dia turut menerima sebuah video memaparkan sekumpulan individu bermain gendang di Pulau Pinang dengan kuat di hadapan sebuah masjid ketika azan Isyak berkumandang.

“Perkara sebeginilah yang kita harus faham. Saya bukanlah seorang terlalu ekstrem yang suka bergaduh dengan orang lain.

“Malah, kawan-kawan saya juga terdiri daripada pelbagai kaum. Arwah ibu saudara juga berketurunan Cina beragama Islam. 

“Hal yang saya maksudkan ialah wujud segelintir pihak cuba memanaskan keadaan dengan membenci Islam yang merupakan agama rasmi negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon berusia 43 tahun itu bertegasm tidak berniat untuk memuat naik sebarang ucapan berbaur hasutan atau kebencian dalam media sosal.

Tegasnya, dia juga menolak daripada memberi sokongan kepada kumpulan ekstrem Islam.

“Saya tiada niat ingin timbulkan isu perkauman dan ingin menimbulkan pergaduhan antara agama. Kita hanya mahu sikap ialah saling menghormati. 

“Hidup di Malaysia ini saling bekerjasama yang membawa kepada keamanan dan kebahagiaan. 

“Tidak aman ialah apabila wujud golongan ekstrem  dan saya tidak menyokong kumpulan Islam yang mengamalkan konsep sebegitu,” ujarnya lagi.

Sejak semalam, nama Zul hangat diperkatakan ramai apabila tular rakaman video dia menyampaikan ceramah dipercayai bersama sebuah parti politik di Kemaman, Terengganu pada 4 November lalu.

Kandungan penyampaiannya mencetuskan pelbagai reaksi apabila ada yang mendakwa dia sengaja mencetuskan isu perkauman.

Semalam, polis turut membuka kertas siasatan ke atas pelakon, Zul susulan dakwaan kenyataan kontroversi berbaur perkauman.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin, berkata PDRM mengesahkan menerima laporan berhubung video oleh Zul Huzaimy.

Menurutnya, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 506, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI