fbpx

LRT Laluan Kelana Jaya stabil, selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kejadian penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang terpaksa turun di stesen Jelatek pagi tadi adalah sebahagian daripada prosedur operasi untuk memastikan keselamatan kelancaran operasi tren, ujar Rapid Rail Sdn. Bhd (Rapid Rail).

Bagi menjelaskan isu berkenaan, Rapid Rail berkata dalam satu kenyataan media malam tadi, tren bernombor 59 terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan kira-kira pukul 8.19 pagi tadi.

“Penumpang telah diminta turun di stesen LRT Jelatek setelah pihak pusat kawalan (OCC) mengesan tren tersebut mengalami masalah mekanikal berkaitan dengan isu ‘tachometer’ yang dalam proses penggantian dan penambahbaikan.

“Proses mengeluarkan tren daripada perkhidmatan mengambil masa kira-kira tiga minit dan pelarasan semula kekerapan tren mengambil masa 10 minit,” katanya menerusi kenyataan di laman sesawangnya.

Tambah Rapid Rail lagi, sementara menunggu tren berikutnya tiba, berlaku sedikit kesesakan di platform disebabkan jumlah penumpang yang tinggi pada waktu puncak.

Jelasnya, tren gantian bernombor 54 telah dimasukkan bagi mengekalkan kekerapan tren selama lima minit, manakala tren yang mengalami masalah tersebut telah dibawa ke depoh penyelenggaraan bagi pemeriksaan lanjut.

Dalam pada itu, Rapid Rail turut mengesahkan aduan orang ramai tentang tiga pintu yang mempunyai masalah ketika tren bernombor 10 tiba di stesen KLCC yang berlaku pada pukul 7.53 pagi tadi.

Walau bagaimanapun, Rapid Rail mendapati pintu platform berfungsi secara normal pada tren-tren lain dan tren tersebut telah dikeluarkan untuk pemeriksaan lanjut.

“Kami ingin menjelaskan bahawa sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) yang menyebabkan penggantungan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya minggu lalu, adalah stabil dan berfungsi dengan selamat.

“Rapid Rail memohon maaf di atas gangguan yang berlaku dan ketidaksenangan penumpang yang menggunakan perkhidmatan kami,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI