fbpx
MEER NASH

Meer Nash 2 tahun terpuruk putus kasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEMPOH dua tahun terpuruk dalam kesedihan mengenangkan bekas kekasih sehingga sukar ‘move on’ mencetuskan inspirasi buat penyanyi Meer Nash untuk menghasilkan sebuah lagu baharu.

Diberi judul Kajima, karya berkonsep K-pop tersebut merupakan single terkini Meer Nash selepas terlebih dahulu muncul dengan sebuah lagu konsep sama, Saranghae, tahun lalu.

Ujar pemilik nama sebenar Muhamad Shahmeer Mohd. Nashrul itu, Kajima merupakan lagu paling gelap pernah dihasilkannya sepanjang bergelar penyanyi.

Jelas penyanyi yang pernah menyertai program I Can See Your Voice (ICSYV) 2020 itu lagi, apabila lagu Kajima siap ditulis, itu bermakna dirinya sudah berjaya melepasi fasa sukar tersebut.

SAMBUTAN hangat terhadap single konsep K-pop pertamanya, Saranghae menjadi titik tolak buat Meer Nash terus mara dengan pendekatan sama, kali ini menerusi Kajima.

“Bahagian awal lagu ini memaparkan saya dalam keadaan marah dan hilang akal terhadap apa yang sudah dilalui sepanjang hubungan tarik tali yang toksik.

“Tetapi pada bahagian akhir lagu, menyaksikan saya berjaya keluar dari lorong gelap dan mencari diri sendiri,” kongsinya.

Demi menyesuaikan konsep kisah ‘gelap’ dalam lagu tersebut, Meer Nash dengan bantuan Brendan Lim Seng Meng, Seow Seng Tack, Wee Zhen Yong dan Asyraf Nasir meletakkan beberapa elemen unik.

“Disebabkan lagu ini ada kisah gelap, jadi saya masukkan sedikit elemen daripada filem seram Indonesia, KKN Di Desa Penari, rap dan puisi kanak-kanak.

“Turut diketengahkan, ada tarian Korea yang menjadi simbolik melepaskan kemarahan yang terpendam,” katanya.

KISAH hubungan toksik dan perasaan sukar melupakan kekasih menjadi intipati penceritaan dalam lagu Kajima.

Paling susah

Berkongsi lanjut tentang single tersebut, kata Meer Nash, idea menghasilkan Kajima sebenarnya muncul ketika dia sedang tidur petang.

“Pada ketika itu, saya masih lagi mencari jalan untuk ‘move on’ sampai terbawa-bawa dalam mimpi.

“Idea tersebut kemudian saya bawa kepada produser muzik, MFMF dan kami menyiapkannya dalam masa beberapa jam sahaja,” kata Meer Nash.

Perjalanan proses rakaman lagu Kajima sangat mudah kerana penyanyi itu berjaya menyelesaikannya dalam masa empat jam.

Di sebaliknya, penyanyi yang digelar Oppa Malay itu mengakui, karya tersebut adalah yang paling susah untuk dihasilkan.

“Saya akui, ini lagu paling susah untuk dirakam sebab faktor genre yang baharu bagi saya, tetapi syukur saya dapat melakukannya dalam masa empat jam sahaja,” ujarnya teruja.

HARAPAN Meer Nash agar lagu Kajima dapat dijadikan sumber kekuatan bagi semua orang mendepani apa jua jenis perasaan yang ada di dalam hati.

Lima baju

Bercakap tentang proses rakaman video muzik lagu tersebut, penyanyi berusia 27 tahun itu berkata, dia terpaksa menukar lima persalinan pakaian yang memakan masa selama 18 jam penggambaran.

Hal ini kerana, jalan cerita dalam video muzik berkenaan menuntut dirinya memainkan beberapa watak.

“Saya muncul dengan beberapa watak, jadi perlu tukar lima pasang baju dan ambil masa selama 18 jam lamanya untuk siapkan video muzik.

“Selain tukar banyak baju, ada kejadian tidak diingini berlaku apabila saya mengalami kecederaan tetapi syukur keadaan itu tidak menghalang kerja penggambaran,” ujarnya.

Malah, ada beberapa kejadian yang tidak terduga sepanjang penggambaran apabila berlaku ‘wardrobe malfunction’ sehingga jurugaya terpaksa menjahit bahagian yang mengalami kerosakan.

Pun begitu, semua cabaran tersebut ditelannya dengan positif dan berharap agar Kajima dapat dijadikan kekuatan kepada sesiapa sahaja yang berada dalam industri sama sepertinya.

“Sesiapa yang dengar lagu ini tidak seharusnya mengenepikan apa sahaja perasaan kerana ‘your feeling is valid’. Meneruskan hidup yang sebenarnya adalah dengan menghadapi segala kemarahan dan kesedihan,” katanya.

Video muzik rasmi Kajima dilancarkan sejak 16 September lalu dan boleh ditonton dalam YouTube Meer Nash.

Single tersebut boleh didengari menerusi semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music.

MEER NASH percaya kehidupan yang sebenar-benarnya adalah hidup dengan menghadapi semua perasaan, gembira, marah atau sedih.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN