fbpx

Bayi maut, pokok ru di Pantai Puteri ditebang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Operasi penebangan pokok ru dilaksanakan di kawasan Pantai Puteri, Tanjung Kling, Melaka. - Foto AMRAN MULUP

MELAKA – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menebang 15 batang pokok ru di kawasan pesisiran Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini, susulan kes bayi lelaki maut dihempap pokok, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, kerja-kerja penebangan itu akan diteruskan secara berperingkat melibatkan pokok-pokok yang berisiko tinggi.

“Susulan kejadian petang semalam, saya telah berbincang dan meminta pihak MBMB untuk menebang semua pokok condong dan berisiko tinggi untuk tumbang.

“Setakat semalam, seramai 50 kakitangan MBMB telah diarahkan melakukan kerja-kerja penebangan dan sebanyak 15 batang pokok telah ditebang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, sehingga kini terdapat kira-kira 300 batang pokok ru di sepanjang pesisiran pantai dan pihak kerajaan negeri memerlukan masa yang sewajarnya untuk menebang pokok-pokok berisiko.

“Kerja-kerja mencantas memang dilakukan secara berkala, namun insiden itu berlaku di luar kawalan yang mungkin disebabkan pelbagai faktor termasuk usianya yang telah mencecah 23 tahun dan cuaca hujan.

“Namun keutamaan kita sekarang ini adalah menebang pokok yang condong ke arah jalan atau rumah penduduk dan di kawasan tapak letak bot nelayan,” katanya.

Tuminah berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk menggantikan tanaman itu dengan pokok ketapang yang memiliki sifat rendang dan lebih utuh berbanding ru yang tidak berakar tunjang.

Hari ini Kosmo! melaporkan seorang bayi lelaki berusia setahun tiga bulan maut selepas dia dan ibunya dihempap sebatang pokok ru ketika berkelah di Pantai Puteri, Tanjung Kling, petang semalam.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, bayi tersebut sedang didukung oleh ibunya sebelum tiba-tiba sebatang pokok tumbang lalu menghempap mereka.

Dua beranak itu dikatakan telah tersembam ke pasir dan bayi disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital pada pukul 12.38 tengah malam tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI