fbpx
Rahimi menunjukkan gambar Mohd. Radzi dan keluarga yang terkorban di Maran semalam.

Anak kembar Radzi tahu ibu bapanya sudah tiada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MARAN – “Cucu saya dah faham, dah tahu pasal itu (kematian ibu dan bapanya), dia tidak bertanya.”

Itu kata Rahimi Abd. Samad, 63, datuk kepada Muhammad Rizz Haziq Mohd. Radzi, 5, yang terselamat dalam tragedi Ford Raptor dihempap pokok di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong ­Isnin lalu.

Dalam kejadian itu Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Mohd. Radzi Rahimi, 40, bersama isterinya, Nuraini Mohammad Jafri, 36, anak kembarnya, Muhammad Rizz Hazim, 5, serta bapa saudaranya, Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 35, me­ninggal dunia.

Rahimi memberitahu, cucunya semakin kuat semangat walaupun kehilangan empat ahli keluarga sekelip mata.

Katanya, cucunya itu tidak menyebut atau bertanya mengenai ibu, ayah dan adik kembarnya kerana dipercayai sudah memahami mereka telah tiada.

“Dia (Muhammad Rizz Haziq) nampak lebih segar, tak ada ta­nya pasal ibu, ayah atau adik kembarnya. Tak ada. Dia dah faham dan dah tahu pasal itu (pemergian ahli keluarga ),” katanya kepada Kosmo! semalam.

Katanya, perkembangan itu sedikit sebanyak melegakan hati ahli keluarga yang sentiasa bergilir-gilir menemani cucunya sepanjang menerima rawatan di hospital.

Tambahnya, keadaan cucunya kini semakin stabil, namun pihak keluarga masih menunggu keputusan doktor mengenai tempoh rawatan sebelum dibenarkan keluar hospital.

Dalam pada itu, Rahimi berkata, beliau bersyukur apabila ramai pihak tampil menunjukkan keprihatinan terhadap nasib cucunya sejak tragedi tersebut.

Ujarnya, selain menghulurkan bantuan berbentuk material dan sokongan moral, terdapat pelbagai pihak menyatakan hasrat untuk menjadikan Muhammad Rizz Haziq sebagai anak angkat.

Mengulas mengenai penja­gaan kanak-kanak itu selepas keluar hospital, Rahimi berkata, perkara tersebut masih dibincangkan bersama ahli keluarga kedua-dua belah pihak.

“Mungkin cucu saya akan dijaga oleh keluarga sebelah arwah ibunya (Nuraini) di Melaka memandangkan mereka juga mempunyai hubungan yang rapat dengan cucu saya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang Ahad lalu, trak pikap Ford Raptor dinaiki lima ahli keluarga itu dihempap sebatang pokok besar di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong berhampiran pintu gerbang Janda Baik di Bukit Tinggi ketika dalam perjalanan pulang ke Maran selepas bercuti.

Empat mangsa disahkan me­ninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Muhammad Rizz Ha­ziq terselamat dan menerima rawatan di hospital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN