fbpx

PRU15: Radzi kemukakan 50 tawaran buat warga Putrajaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi ketika berucap pada pelancaran 50 Tawaran #EraBaharuPutrajaya di Sunset Glashaus, Putrajaya di sini, semalam.- Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Calon Perikatan Nasional (PN) P.125 Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin menawarkan 50 tawaran buat 42,881 pengundi Putrajaya jika diberi mandat sebagai Ahli Parlimen kelak.

Menurutnya, kesemua tawaran itu mampu dan realistik untuk dilaksanakan selain turut mengambil kira aspirasi juga hasrat warga Putrajaya sendiri.

“Sejak menetap di sini empat tahun lalu, kami dapati bahawa ramai yang mahu melihat perubahan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini,” katanya ketika berucap melancarkan 50 Tawaran Dr. Radzi Jidin Untuk Putrajaya, di sini, malam tadi.

Katanya, tawaran itu merangkumi kesejahteraan masyarakat, ekonomi, pendidikan, anak muda serta infrastruktur dan kemudahan awam.

Radzi berkata, tawaran itu dibahagikan kepada lima tunjang utama iaitu Demi Warga Putrajaya yang Sejahtera, Demi Ekonomi yang Makmur, Demi Pendidikan Generasi Putrajaya, Demi Masa Depan Anak Muda Putrajaya, Demi Infrastruktur Dan Kemudahan Awam yang Terancang.

Menurutnya, antara yang ditawarkan termasuk mewujudkan aplikasi dalam talian dikenali sebagai Putrajaya Care iaitu pusat sehenti yang berperanan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan Ahli Parlimen.

“Aplikasi ini akan berfungsi sebagai platform aduan selain wadah bagi mendapatkan khidmat bantuan, tempahan fasiliti dan perkongsian informasi,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, beliau turut menawarkan program #NgajiPutrajaya yang akan dilaksanakan melalui penyediaan kelas mengaji al-Quran secara menyeluruh.

“#NgajiPutrajaya akan dilengkapi modul lengkap untuk kanak-kanak, remaja dan orang dewasa, termasuk penggunaan teknologi digital di surau-surau,” katanya.

Bagi sektor pendidikan pula, Radzi berkata, sekurang-kurangnya RM5,000 akan diperuntukkan kepada persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) setahun bagi mendokong peranan dan sumbangan persatuan dalam membantu kemenjadian murid.

“Perkhidmatan bas sekolah berdaftar disediakan secara percuma kepada murid miskin untuk kemudahan ke sekolah,” katanya.

Pengundi Putrajaya juga turut ditawarkan bantuan awal kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam sebanyak RM500 selain #SiswaDigital untuk keluarga yang kurang berkemampuan.

Radzi berkata, sebuah Kompleks Anak Muda Putrajaya yang dilengkapi dengan fasiliti yang kondusif untuk kegunaan belia, badan bukan kerajaan (NGO), siswa dan pekerja gig juga akan diwujudkan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI