NUHA BAHRIN

[VIDEO] Nuha Bahrin kuatkan hati maafkan pembenci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERBICARA tentang tuah, sebenarnya tidak semua anak seni mampu mendakapnya dalam tempoh singkat.

Situasi sebaliknya yang berlaku kepada si pucuk muda, Nuha Bahrin apabila meledak-ledak sehingga mencetuskan fenomena selepas lagu Casablanca menjadi siulan ramai dalam media sosial.

Bangganya, Casablanca menjadi antara karya anak tempatan yang berjaya lolos memasuki industri hiburan negara seberang.

Bukan terlalu memuji, tetapi umum tahu bukan mudah lagu tempatan untuk memecah sempadan hiburan Indonesia.

Sehebat mana kualiti sesebuah karya, belum tentu dapat menembusi pasaran negara jiran tersebut. Begitulah realiti, namun sebaliknya yang diraih gadis bertubuh genit itu.

Berkongsi rasa, pemilik nama lengkap Nuha Sakina Saiful Bahrin masih tidak menyangka Casablanca mampu mencurahkan rezeki bukan sedikit.

Lagu ciptaan Daqmie itu bahkan meledakkan namanya sehingga ke tahap yang diraihnya hari ini.

“Tiada kata yang dapat saya ungkap hari ini apabila melihat kejayaan Casablanca. Memang tidak terjangka penangannya.

“Malah, sambutan hebat yang diterima di Indonesia diibaratkan bagai bulan jatuh ke riba. Rezeki yang tidak pernah saya mimpikan pun,” katanya kepada HibGlam teruja.

Berpeluang terbang ke Indonesia, anak kelahiran Rawang, Selangor itu dapat melihat sendiri penerimaan Casablanca diterima baik di sana

“Pengalaman di sana sangat berharga malah kami tak pernah rancang pun untuk terbang sampai ke Indonesia.

“Semuanya berlaku secara mengejut,” ujarnya.

HATI Nuha tergores apabila ibunya menangis membaca komen-komen jahat netizen mengecam kelemahan nyanyiannya satu ketika dahulu.

‘Arabkan’ lagu

Di sebalik penerimaan ramai, kecenderungan Nuha menyelitkan bahasa Arab dalam lagu tidak disenangi segelintir khalayak, bahkan digelar sebagai perosak.

Kritikan memuncak apabila Nuha bersama regu duetnya Naufal muncul mendendangkan lagu ikonik, Jika nyanyian dan ciptaan Melly Goeslaw dalam bahasa Arab.

Tidak melenting dengan perkara tersebut, Nuha berpegang prinsip pendekatan sebegitu bagi memenuhi permintaan ramai yang meminati lagu-lagu berbahasaArab.

“Kami masih dalam mood ‘Arab’ malah saya sedar tentang perkara tersebut tetapi sebenarnya ramai yang meminati lagu Arab.

“Realitinya lagu sebegini sebenarnya mendapat permintaan tinggi dan ramai yang suka!” katanya yang enggan mengambil pusing dengan kata-kata negatif ramai.

Penyanyi berusia 22 tahun itu juga mengakui sangat meminati lagu berkonsepkan Timur Tengah.

IMPAK Casablanca, Nuha dan Naufal berjaya mendapat 2X Platinum Award selepas mencapai 400,000 muat turun dalam semua platform muzik digital sejak dilancarkan pada 4 Jun lalu.

Acuan muzik sebegitu juga seperti mengimbau semula zaman kegemilangan karya-karya seni milik Waheeda dan Yasin Sulaiman suatu ketika dahulu.

“Saya dan Naufal sangat sukakan irama sebegini dan jika diberi peluang, kami nak bolos ke lapangan seni muzik Timur Tengah.

“Lagu Jika dalam bahasa Arab pun ramai yang suka malah Melly pun beri sokongan dan memuji hasilnya.

“Jadi, mengapa harus berhenti melakukan sesuatu yang kami suka hanya kerana kecaman ramai?” tegasnya.

Tanpa sedar, Nuha terharu apabila lagu-lagunya membuatkan ramai golongan muda berminat untuk mempelajari bahasa Arab.

“Sebab itu saya tak mahu terlalu cepat terasa hati dengan tohmahan orang sebab dalam rasa pahit pasti akan ada manisnya.

“Ramai golongan muda mesej dan beritahu semakin minat untuk mempelajari bahasa Arab sebab lagu saya. Ini membuktikan, karya seni pun boleh mendidik,” ujarnya.

BUKAN mudah untuk berjaya, Nuha memandang rezekinya yang berjaya menembusi pasaran Indonesia sebagai satu tuah bahkan permulaan untuk melebarkan sayap seni ke negara luar. – foto AFIQ RAZALI/Universal Music Malaysia

Tangisan kecaman

Melencong daripada topik pencapaian, emosi Nuha bertukar suram. Dia tiba-tiba sebak tatkala berkongsi rasa tentang video lama nyanyiannya dalam sebuah program hiburan kembali tular.

Kata Nuha, ahli keluarga, terutama ibunya sangat terkesan apabila melihat dia tanpa henti menjadi mangsa buli netizen yang tidak putus mengecam dan mentertawakan kelemahan nyanyiannya.

“Ibu bapa saya lihat semua komen tersebut. Saya harap ada kekuatan untuk memaafkan mereka yang menularkan video tersebut.

“Selain itu, saya juga risau semua itu mengajak untuk lebih ramai membenci orang lain.

“Harap ada kekuatan untuk memaafkan mereka tetapi sebagai orang Islam, semoga mereka berhenti menularkan video tersebut,” ungkapnya sambil mengesat air mata.

NUHA sebak bercerita tentang ibunya yang turut terluka membaca kecaman netizen mengutuk persembahan sumbangnya sebelum ini.

Ujarnya, ahli keluarga tidak sepatutnya melalui episod duka berpunca daripada kerjaya seninya.

“Sepatutnya saya seorang sahaja yang rasa sakit tetapi tanpa sedar semua itu beri impak kepada orang sekeliling.

“Hati sangat terluka melihat ibu menangis, malah saya merayu kepadanya supaya tidak membaca semua komen negatif.

“Tidak adil bagi mereka untuk turut terluka, bukan salah mereka pun,” katanya lagi.

Meskipun begitu, Nuha turut memandang semua kecaman tersebut sebagai peringatan agar tidak mengulangi kesilapan sama.

“Tiada nasihat untuk mereka yang membenci saya, namun ini semua satu peringatan saya supaya tidak melakukan kesilapan yang sama.

“Saya tak kesah jika nyanyian tidak sesedap yang orang sangka. Alhamdulillah, semua itu buatkan saya belajar untuk menjadi lebih baik,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN